Carian
Dyson WashG1 Ialah Pencuci Lantai Bangsawan Yang Dinantikan
May 14, 2024 Nazrin

Dyson ialah jenama yang cukup terkenal untuk kipas tanpa bilah, mesin vakum hampagas dan juga pengering rambut kelas bangsawan mereka. Terkini, syarikat tersebut telah memperlihatkan perkakasan terbaru mereka, iaitu sebuah pencuci lantai yang dinamakan Dyson WashG1.

Anda mungkin merasakan bahawa rupa bentuk Dyson WashG1 tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan pembersih hampagas Dyson sebelum ini. Dari sekilas pandang, perkara ini mungkin benar, tetapi cara WashG1 berfungsi adalah agak berbeza.

Dimana pembersih hampagas Dyson menggunakan motor “Cyclone” di bahagian pemegang untuk menyedut kotoran-kotoran di lantai dan juga karpet, kebanyakan fungsi pembersihan Dyson WashG1 terletak di bahagian kepala pembersih mesin pembasuh ini.

Pertama ialah tangki air yang boleh menyimpan air sebanyak satu liter yang akan digunakan untuk membasahkan bahagian pencuci perkakasan ini. Kedua ialah dua berus yang menggunakan bulu nylon dan juga microfibre untuk memerangkap kotorang kering dan juga basah dari lantai sekaligus.

Seperti bagaimana yang diterangkan oleh pihak Dyson, kedua-dua berus ini akan dibasahkan melalui 26 kawasan penghidratan di seluruh bahagian berus-berus ini, yang mana kemudian berus bahagian luar yang diperbuat daripada microfibre akan menyerap kedua-dua jenis kotoran ini.

Berus nylon di bahagian dalam akan kemudiannya membersihkan Dson berus luaran dan memerangkap kotoran kering didalam sebuah ruangan penyimpanan untuk memudahkan proses pembersihan kemudian. Malah, untuk mereka yang tidak mahu selalu membersihkan mesin ini, Dyson mengatakan bahawa ia akan hadir dengan teknologi pembersihan kendiri berkala supaya berus dan juga tangki kekal bersih untuk satu jangka masa.

Dyson juga telah mengubahsuai kepala pembersihan Dyson WashG1 ini supaya ia lebih mudah untuk membersihkan kotorang di celah-celah yang mungkin sukar untuk dimasuki dan juga bahagian lantai yang dekat dengan dinding.

Dyson WashG1 dijangka akan mula dijual tidak lama lagi, tetapi kami diberitahu oleh pihak Dyson Malaysia bahawa mereka masih belum menetapkan bilakah ia akan mula dijual di sini. Walaupun begitu, sebuah laman web pendaftaran minat sudahpun dibangunkan untuk mereka yang berminat untuk membeli produk terbaru Dyson ini.

Komen