Carian
Gemini Nano Dengan Model Multimodal Diperkenalkan Untuk Google Pixel
May 15, 2024 Fahim Zahar

Teknologi kecerdasan buatan yang ramai orang mahukan adalah pemprosesan yang berlaku dari dalam peranti. Ini kerana prestasi AI akan menjadi lebih pantas dan ia boleh digunakan tanpa sambungan Internet. Google Pixel dan Samsung Galaxy terpilih menggunakan Gemini Nano sebagai model bahasa raya terbina melalui AI Core.

Terbaru, Gemini Nano With Multimodality akan diberikan kepada pengguna Pixel tidak lama lagi. Ciri ini akan menjadikan pemprosesan kecerdasan buatan tanpa Internet pada Pixel lebih pantas dan berkuasa. Misalnya ia kini boleh digunakan bersama Talkback iaitu ciri kebolehcapaian yang kini boleh menghuraikan butiran imej yang terpapar pada peranti dengan AI.

Bukan itu sahaja, Gemini turut akan menyokong kesedaran kontekstual di mana ia boleh bersembang dengan pengguna secara berterusan tanpa pengguna perlu tanya berkali-kali. Ia seakan Google Assistant atau Siri cuma dengan AI. Ciri yang diperlihatkan adalah untuk RCS, sembang dengan rakan dan seru Gemini untuk jana imej atau sambil tonton video boleh seru Gemini untuk merumuskan video.

Komen