Carian
Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 Berharga Bermula RM2799 Di Malaysia – Skrin 3K, SD8 Gen 2, Bateri 10,000mAh
May 15, 2024 Aman

Xiaomi Malaysia hari ini mengumumkan penawaran satu lagi tablet terbaru untuk pasaran tempatan, iaitu Xiaomi Pad 6S Pro. Tablet ini hadir dengan skrin bersaiz 12.4-inci, dan dioptimasikan bukan sahaja untuk tujuan menikmati kandungan, tetapi juga untuk membuat pelbagai tugasan menggunakannya.

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 hadir dengan skrin 12.4-inci pada resolusi 3K, dengan nisbah paparan 3:2, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2, bateri 10000mAh dengan sokongan pengecasan 120W, kamera utama 50MP, dan turut dilengkapi enam speaker, selain 4 mikrofon bersama dengannya.

Xiaomi sendiri memasarkan tablet ini sebagai tablet produktiviti, dan turut hadir dengan penawaran aksesori seperti papan kekunci dan pen. Melengkapkan ia adalah sistem operasi Xiaomi HyperOS yang menawarkan beberapa ciri tambahan, termasuk kemudahan untuk pemindahan fail antara telefon ke tablet. Namun, untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu pastikan telefon turut menggunakan versi terkini sistem operasi, selari tablet.

Di Malaysia, Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 dijual pada harga RM2799 untuk model 8GB RAM + 256GB storan, selain turut ditawarkan dengan pilihan model 12GB RAM dan 512GB storan pada harga RM3099.

Aksesori turut dijual berasingan, seperti papan kekunci Xiaomi Pad 6S Pro Touchpad Keyboard pada harga RM699, Xiaomi Focus Pen pada harga RM399, dan Xiaomi Pad 6S Pro Cover pada harga RM149. Xiaomi mengatakan Xiaomi Pad 6S Pro Touchpad Keyboard akan ditawarkan percuma bersama setiap pembelian tablet untuk masa terhad.

Komen