Carian
Ciri AI Generatif Xiaomi HyperOS Kini Boleh Digunakan Di Malaysia
May 15, 2024 Fahim Zahar

Xiaomi sedia mempunyai perkhidmatan AI generatif tersendiri tetapi selama berbulan lamanya ia terhad untuk pasaran China sahaja. Semasa MWC Barcelona 2024, Xiaomi menjanjikan yang perkhidmatan AI mereka akan ditawarkan kepada pengguna global secara berperingkat bermula suku pertama 2024 dan minggu ini, pengguna di Malaysia akhirnya boleh mencubanya.

Terdapat tiga ciri AI yang utama pada Xiaomi HyperOS iaitu AI Eraser Pro, AI Expansion dan AI Portrait. Ketiga-tiga perkhidmatan ini dikatakan percuma selama-lamanya kerana langsung tiada perancangan untuk mengenakan harga langganan. Ciri ini dilihat tersedia dalam Xiaomi HyperOS 1.0.11.0.UNCMIXM dengan aplikasi Mi Gallery versi 3.6.2.10-global.

AI Eraser Pro

Seperti Photo Assist pada Galaxy AI untuk peranti Samsung dengan One UI 6.1, AI Eraser Pro adalah ciri yang boleh membuang atau menambah objek di dalam gambar sedia ada. Pada aplikasi Gallery, pilih gambar dan tekan ikon pensel lalu pilih Create. Kemudian pilih Erase dan akan ada pilihan Manually, Remove object, Remove lines, Remove people atau Remove Shadow untuk memudahkan pengguna melakukan suntingan yang macam mana.

AI Expansion

Ini adalah seakan generative fill pada Photoshop di mana dengan ciri pangkas, imej pengguna boleh diisi dengan latar belakang dan jika gambar manusia adalah separuh badan AI Xiaomi turut boleh tambah kaki. Sama AI Eraser Pro, tekan ikon pensel pada gambar yang ingin disunting cuma tidak perlu tekan Create tetapi pilih Crop. Kemudian tekan AI expansion dan pilih saiz seperti Auto atau nisbah paparan lain seperti 1:1, 16:9 dan banyak lagi. AI akan ambil masa sekitar 5-10 saat untuk isi ruang kosong dan tambah apa yang patut.

AI Portrait

Ciri menjana imej baharu sendiri dengan melatih AI menggunakan gambar sendiri sudah ditawarkan sejak tahun lepas lagi. Biasanya pengguna perlu muat naik 5-10 gambar dan tunggu giliran. Kaedah ini biasanya memerlukan pengguna bayar untuk setiap janaan atau langgan secara bulanan untuk menjana beberapa kali. Pada Xiaomi HyperOS, konsep yang sama digunakan tetapi memerlukan 25 ke 35 gambar pengguna yang sama dengan pakaian berbeza serta gaya muka berbeza.

Sistem AI Xiaomi kemudian akan memuat naik gambar ke pelayan mereka dan pengguna perlu tunggu dari 20 minit ke 2 jam, jika ramai orang menggunakannya ia mungkin mengambil masa lebih lama seperti saya yang perlu tunggu 4 jam. Selepas selesai, sekitar 8 gambar diberikan, setiap gambar diberi pilihan untuk muat turun versi resolusi penuh. Jika tidak berpuas hati, pengguna boleh masukkan prom untuk menjana gambar dengan gaya dan tema berbeza yang mengambil masa sekitar 1 minit ke 30 minit.

Ciri ini walaupun percuma, pengguna dihadkan menjana 20 gambar sehari sahaja. Tiada pilihan untuk menjana lebih banyak gambar atau pilihan membeli kredit tambahan. Hasil yang dikeluarkan agak menarik dan realistik kerana raut wajah saya kelihatan sama dengan imej sebenar.

Xiaomi tidak berkongsi teknologi model bahasa raya yang digunakan. Walau bagaimanapun semua tahu Xiao AI adalah AI utama Xiaomi yang turut telah dikemaskini dengan AI generatif. Di Github Xiaomi ada menyenaraikan MiLM-6B yang menyokong 6.4 billion parameter tetapi ditujukan untuk Xiao AI jadi tidak pasti ciri AI generatif suntingan gambar ini menggunakan teknologi AI yang mana.

Komen