Carian
Kapcai Elektrik BMW CE 02 Bakal Dilancarkan Di Malaysia Autoshow 2024
May 15, 2024 Ikhwan Nazri

Selang setahun selepas skuter elektrik BMW CE 04 dilancarkan di pasaran tempatan pada acara Malaysia Autoshow 2023, minggu hadapan BMW Motorrad Malaysia dilihat akan mengumumkan kapcai elektrik mereka iaitu BMW CE 02 di acara yang sama iaitu Malaysia Autoshow 2024. 

Kapcai elektrik BMW CE 02 ini bakal menjadi motosikal elektrik kedua yang ditawarkan oleh BMW Motorrad untuk pasaran tempatan, dan diletakkan dalam kategori Urban Mobility bersama-sama skuter lain termasuklah CE 04, C 400 X dan C 400 GT.

Dari segi spesifikasi, BMW CE 02 mempunyai enjin yang memberikan kuasa maksimum 15hp dan boleh memecut 0-50km/j dalam masa 3 saat. Ia mempunyai 2 bateri berkapasiti 1.96kW yang memberikan jarak perjalanan sejauh 95km pada kiraan WMTC, dan dapat dicaj dari 20% ke 20% sekitar 168 minit. 

Berbeza dari BMW CE 04 yang mempunyai 4 pilihan mod tunggangan, BMW CE 02 hanya mempunyai dua, yang dipanggil ‘Flow’ untuk corak tunggangan biasa dan ‘Surf’ untuk corak tunggangan agresif. Paparannya pula bersaiz 3.5-inci dan terdapat cagak khas untuk telefon pintar pengguna dijadikan sebagai paparan kedua. 

Buat masa ini tidak dapat dipastikan sekiranya kapcai ini bakal menerima insentif motosikal elektrik dari MARiiCAS. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi BMW Motorrad Malaysia pada minggu hadapan di Malaysia Autoshow 2024 berkenaan harga dan spesifikasi untuk pasaran tempatan. 

Komen