Sony hari ini memperkenalkan secara rasminya telefon pintar mercu terbaru mereka untuk tahun 2024, iaitu Sony Xperia 1 VI.

Telefon mercu Sony kali ini membawa perubahan besar dari segi nisbah skrin, iaitu tidak lagi menggunakan skrin pada nisbah 21:9 seperti sebelumnya, tetapi telah diubah kepada nisbah 19.5:9 seperti beberapa peranti lain. Dari segi saiz skrin, ia kini hadir dengan skrin 6.5-inci, serta sokongan kadar kecerahan mencapai 1300-nits.
Menguasakan telefon pintar ini adalah cip Snapdragon 8 Gen 3, memori sehingga 12GB RAM, dan pilihan storan sehingga 512GB. Ia turut dilengkapi bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan 30W. Sony mengatakan kapasiti bateri telefon ini boleh kekal sehingga 80% selepas 8 tahun digunakan.

Sony Xperia 1 VI ini turut hadir dengan kamera utama 48-megapixel bersama-sama lensa telefoto dan juga sensor ultra-lebar. Sony menekankan pada keupayaan kamera telefon pintar ini melalui kemaskini pada aplikasi kamera, selain butang fizikal untuk merakamkan gambar pada bahagian tepi peranti. Sony juga menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm pada telefon pintar ini.
Sony menyasarkan memasarkan telefon pintar ini di Malaysia menjelang bulan Julai 2024 kelak. Harga jualannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini.