Carian
X Kini Mencapai 8 Bilion Tontonan Video Setiap Hari
May 15, 2024 Aman

Melalui penawaran kepada pengiklanan yang dilihat oleh Digiday, ia kini dikongsikan X atau dulunya dikenali sebagai Twitter, mempunyai kadar tontonan video mencapai 8 bilion tontonan setiap hari. Angka ini dilihat selari dengan langkah X yang ingin memposisikan platform mereka sebagai mengutamakan kandungan video.

X mengambil kira statistik baharu ini melalui kadar tontonan minima 2 saat yang berlaku, dan pengguna melihat sekurang-kurangnya 50% daripada paparan pemain video pada skrin peranti mereka ketika menatal. X juga hanya mengambil kira kadar tontonan melibatkan pengguna yang log masuk ke perkhidmatan mereka sahaja buat masa ini.

Angka baharu ini semestinya akan mencuri perhatian ramai pengiklan, dan mungkin membuatkan pengiklan mula mengiklan dalam bentuk video pada platform tersebut. Secara tidak langsung juga, X boleh mengenakan caj lebih tinggi berbanding pengiklanan dalam teks semata.

X sendiri sebelum ini telah mula memfokuskan kepada aplikasi video untuk televisyen pintar, selain turut menawarkan paparan khusus pada peranti mudah-alih yang mana pengguna dengan mudah boleh menatal ke video-video seterusnya dan meluangkan lebih banyak masa pada platform berkenaan.

Disamping pengiklan, X juga agak giat aktif dalam melakukan kerjasama bersama penerbit kandungan untuk menerbitkan kandungan video di platform tersebut terlebih dahulu.

Komen