Intel mengumumkan Thunderbolt Share hari ini yang membolehkan pemindahan data antara PC pada kelajuan lebih 40 Gbps. Sambungan dilakukan antara dua PC secara berwayar menerusi port Thunderbolt 4 atau Thunderbolt 5.

Selain pemindahan data pantas antara dua komputer, Thunderbolt Share juga membolehkan dua PC dikawal serentak, pemindahan fail secara drag & drop, dan menyelaraskan fail antara dua komputer dengan pantas. Ia turut membolehkan salah satu PC beroperasi sebagai skrin sekunder dengan resolusi 1080p 60FPS apabila diperlukan oleh pemilik.
Untuk menikmati ciri ini, sebuah perisian khas diperlukan dengan ia akan boleh dimuat turun secara berbayar bermula Jun depan. Pada waktu ini Acer, Lenovo, MSI, dan Razer adalah empat pengeluar PC terawal akan menyokongnya. Sementara itu Belkin, Kensington, Plugable, dan Promise Technology pula akan menawarkan aksesori PC yang menyokong Thunderbolt Share.