Measat, syarikat pengelola disebalik perkhidmatan internet satelit ConnectMeNOW dan Mudah Healthtech, pembangun platform kesihatan digital hari ini telah mengumumkan sebuah projek baru untuk memudahkan pemeriksaan kesihatan dilakukan untuk para penduduk di luar bandar yang dinamakan Sihat Xpress.

Sihat Xpress diperkenalkan untuk pertama kalinya di Kampung Togop Darat 1 di Ranau, Sabah hari ini, dan telah berkhidmat untuk membolehkan para penduduk kampung tersebut untuk mengambil beberapa pemeriksaan kesihatan asas secara mudah dan tanpa memerlukan kehadiran doktor secara fizikal di lokasi mereka.
Melalui platform Sihat Xpress ini, mereka boleh mengambil ujian tahap oksigen, berat badan, suhu badan, tekanan darah dan juga ujian gula darah secara kendiri, dimana butiran-butiran ujian ini boleh dimuatnaik ke platform tersebut secara automatik tanpa memerlukan input dari pesakit.

Butiran ini kemudiannya akan dikaji oleh doktor-doktor bertauliah dibawah Mudah Healthtech dan doktor-doktor ini boleh memberikan diagnosis kepada pesakit secara telesidang. Sekiranya kesihatan pesakit memerlukan diagnosis doktor secara fizikal, pesakit-pesakit ini kemudiannya boleh pergi melawat klinik ataupun hospital di pekan, dimana untuk para penduduk Kampung Togop Darat 1, adalah satu perjalanan yang agak jauh.
Walaupun penggunaan perkhidmatan Sihat Xpress di Kampung Togop Darat 1 ini adalah sebagai sebuah bukti konsep, ia juga telah digunakan selama sebulan di lokasi tersebut, dan para penduduk kampung tersebut dilihat cukup berpuas hati dengannya. Menurut mereka, perkhidmatan ini memudahkan mereka membuat saringan kesihatan yang mudah, dan penyakit seperti demam, hypertension dan diabetes dapat diuji dan diubati dengan cepat dan mudah.

Dan sekiranya penyakit yang dihidapi adalah lebih serius, mereka juga akan mendapat kepastian bahawa ia adalah sesuatu yang patut diambil dengan serius, dan mereka kemudiannya boleh ke klinik ataupun hospital untuk rawatan yang selanjutnya.
Apa yang lebih menarik lagi ialah perkhidmatan Sihat Xpress ini adalah percuma, dan menurut Mudah Healthtech, doktor-doktor yang akan memberikan diagnosis dan nasihat ini akan dilakukan oleh doktor tempatan, sekiranya mereka tidak sibuk dengan pesakit lain.

Perjanjian persefahaman (MoU) juga ditandatangani oleh Measat dan Mudah Healthtech untuk membolehkan perkhidmatan ini disampaikan ke sekitar 1 juta penduduk luar bandar dan kawasan pendalaman yang merangkumi 4000 lokasi perkhidmatan ConnectMeNOW. Melalui perjanjian ini juga, edua-dua syarikat ini akan bekerjasama untuk meningkatkan jumlah doktor ke 1000 untuk menyokong platform Sihat Xpress di 2000 lokasi dalam masa dua tahun.