Carian
Ulasan Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – Untuk Produktiviti Sememangnya Puas Hati
May 21, 2024 Fahim Zahar

Xiaomi Pad 6 adalah antara tablet Android yang baik pernah saya gunakan. Terbaru yang mula dijual di Malaysia adalah Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 inci iaitu tablet “Pro” pertama Xiaomi untuk pasaran tempatan. Selepas menggunakannya untuk hampir sebulan menggantikan iPad Air M1 saya, saya boleh katakan tablet Xiaomi ini adalah calon yang baik sebagai pengganti.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4
Skrin12.4″ LCD 3K (3048 x 2032), 3:2, 144Hz
Dolby Vision, HDR10
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4 nm)

1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM8/12 GB LPDDR5X
Storan256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP JN1, f/1.8
2MP OV02B1B, f/2.4
Kamera Depan32M POV32D, f/2.2
Bateri10000mAh
120W HyperCharge
Sim/TelefoniWiFi sahaja
Audio6x Speaker Dolby Atmos
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 7, Ya, Bluetooh 5.3,
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari pada butang kuasa
Harga JualanGraphite Gray
RM2,799 (8/256 GB)
RM3,099 (12/512 GB)

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 menggunakan rekaan mirip iPad Pro yang baharu cuma, ia mempunyai ketebalan 6.26mm berbanding iPad Pro M4 13-inci yang hanya 5.1mm. Tablet Android ini turut terasa premium dan mewah apabila digunakan kerana ia adalah sebuah tablet mercu yang memfokuskan produktiviti bukan untuk penggunaan hiburan kanak-kanak.

Skrin di hadapan menggunakan rekaan bezel yang hampir sekata agar mudah dikendalikan, tablet juga tidak begitu berat tetapi jika disambungkan dengan papan kekunci magnetik saya seakan mengusung sebuah komputer riba. Terdapat bonggol kamera segi empat di belakang dan port magnetik untuk disambungkan pada pelbagai aksesori. Setiap butang fizikal juga selesa ditekan tetapi pada bahagian mengecas stilus magnet yang digunakan agak lemah menyebabkan ia kerap tertanggal.

SKRIN

Skrin LCD 12.4-inci ini bukan sekadar skrin LCD biasa yang digunakan pada telefon pintar. Dengan pengiktirafan Dolby Vision dan HDR 10, warna yang skrin ini hasilkan adalah sangat terang dan cantik. Menonton video di Netflix memberi pengalaman menonton terbaik untuk sebuah tablet, kemudian menggunakan skrin untuk membaca aplikasi ebuku seperti Cereka juga puas. Skrin juga cukup memuaskan bagi tujuan suntingan gambar yang ringkas atau melukis dengan stilus.

Sokongan kadar segar semula 144Hz juga sangat menarik kerana ciri adaptif pada skrin LCD diuruskan dengan baik melalui Xiaomi HyperOS. Sistem benar-benar bijak menentukan kadar segar semula terbaik sama ada sedang bekerja atau berhibur. Kecerahan juga memuaskan untuk penggunaan harian saya.

BIOMETRI

Sistem biometri imbasan jari sedia terbina pada butang kuasa tetapi kurang konsisten. Saya perlu imbas jari 2-3 kali sebelum tablet boleh dinyahkunci. Ciri yang menarik untuk saya adalah imbasan wajah yang dipadankan dengan ciri AI kerana ia boleh menghidupkan skrin dan terus menyahkunci peranti apabila mengesan saya berada berdekatannya.

PENGGUNAAN – Xiaomi HyperOS Dan Ekosistem Aksesori

Sebelum saya masuk ke HyperOS, saya akan kongsi pengalaman menggunakan kesemua aksesori rasmi yang dijual iaitu Touchpad Keyboard berharga RM699, Focus Pen yang berharga RM399 dan juga Cover yang bernilai RM149.

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 Touchpad Keyboard cuba menjadi Apple Magic Keyboard untuk iPad tetapi tiada “magis” di sini. Kekunci kurang sedap ditekan manakala pad sesentuh pula tidak membawakan banyak ciri efisien berbanding menggunakan skrin sesentuh. Cover terakhir adalah jenis origami di belakang yang boleh dilipat untuk meletakkan tablet dalam keadaan tegak atau melintang.

Xiaomi Focus Pen adalah iterasi terbaik untuk tablet Android yang seakan Apple Pencil. Ia sangat mesra pengguna, padat dengan ciri menarik dan memberi pengalaman penggunaan yang memuaskan tidak kira untuk menulis atau melakar. Masalahnya hanya satu iaitu magnet yang lemah pada bahagian pengecas membuatkan ia mudah tertanggal sehingga saya cemas ia mungkin hilang tanpa disedari jika tercicir.

Satu ciri Xiaomi HyperOS untuk tablet yang paling saya hargai adalah Workstation yang mempunyai persamaan dengan Apple Stage Manager. Ciri ini tidak memerlukan sambungan ke monitor dan kerja-kerja multi-tugasan boleh dilakukan dengan sangat lancar tanpa sebarang lengah masa. Isu utama hanya ciri Interconnectivity yang boleh berhubung dengan Xiaomi 14 dan Xiaomi Watch S3.

Tablet ini sepatutnya boleh menerima notifikasi yang sama, kongsi skrin dan memindahkan fail dengan mudah seakan ekosistem Apple atau Huawei. Sayang sekali kerana HyperOS pada Xiaomi 14 tidak sama dengan Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 ciri ini tidak boleh saya uji sendiri.

Walaupun begitu ciri multi-tugasan lain seperti dwi-tetingkap dengan beberapa aplikasi terapung masih boleh digunakan seperti mana-mana tablet Android. Xiaomi turut menyediakan aplikasi Mi Canvas dan Xiaomi Note untuk memanfaatkan lagi Xiaomi Focus Pro.

Dua aplikasi ini saya suka kerana percuma dan mesra dengan sistem operasi tetapi tidak mesra untuk digunakan secara rentas-platform. Nota dan lukisan hanya akan muncul dalam peranti Xiaomi lain dengan akaun sama dan tiada pilihan menyandarkan secara automatik di awanan untuk akses pantas dan mudah.

Apa yang saya kecewa dengan Xiaomi HyperOS pada Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 adalah ia tiada ciri AI generatif. Samsung telah mengedarkan One UI 6.1 kepada siri tablet Galaxy Tab S9 dengan banyak ciri AI generatif. Setakat ini, ciri AI menarik saya hanya menemuinya pada Xiaomi 14 dalam kemas kini terbaru.

Saya turut ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Xiaomi kerana memberi tablet ini HyperOS yang bebas iklan dan aplikasi gendut. Semasa hari pertama saya menggunakan tablet ini ia mengingatkan kepada pengalaman menetapkan iPad, sangat ringkas dan tidak memeningkan kepala.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Cip Snapdragon 8 Gen 2 masih lagi sebuah cip yang berkuasa. Harga jualan tablet ini mencabar Samsung Galaxy Tab S9 FE yang mempunyai harga lebih kurang sama tetapi spesifikasi kurang berkuasa. Berikut adalah perbandingan markah penanda aras dengan dua tablet berbeza menggunakan 3DMark, AnTuTu 3D dan Geekbench 6.

Antutu 3D

  • Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 1,509,513
  • Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – 595,820

Geekbench 6

  • Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 1895/4996
  • Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – 990/2790

3D Mark Wildlife Extreme

  • Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 2989/17.9 FPS
  • Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – Tiada

Solar Bay

  • Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 4282/16.28 FPS
  • Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – Tiada

Markah penanda aras yang agak tinggi ini padan dengan prestasi tablet yang sangat pantas dan lancar. Sepanjang penggunaan tidak kira untuk kerja dengan menggunakan banyak aplikasi atau hanya bermain permua sepanjang hari, tablet ini masih mampu beroperasi dengan sempurna sehingga malam tanpa masalah pemanasan dan lengah masa.

KAMERA

Hanya Apple sahaja mementingkan kualiti kamera pada tablet kerana yakin iPad adalah pengganti komputer. Untuk tablet Xiaomi, walaupun mereka tidak menekankan kualiti kamera seperti tiada ciri Leica tetapi hasil kamera swafoto adalah cantik, jelas dan terang. Butiran berjaya dipelihara dan mod AI kini berjaya mengenalpasti situasi pencahayaan untuk hasil potret dan hasil automatik yang lebih berkualiti.

Telesidang

Kebanyakan perkhidmatan telesidang sudah menyertakan ciri kamera AI yang mencantikkan kualiti. Kualiti kamera untuk telesidang bergantung kepada peranti, pada tablet ini ia agak terang dan mempunyai pergerakan yang baik. Tiada masalah sangkut-sangkut dan sesi telesidang yang disertai dengan tablet ini pasti akan tamat dalam keadaan baik.

AUDIO

Audio Dolby Atmos untuk enam speaker pada tablet ini seimbang. Ia juga cukup lantang untuk menikmati hiburan seorang diri. Kerana ia lebih kepada bass, menonton filem adalah lebih ideal berbanding mendengar muzik. Xiaomi perlu menjadikan speaker tablet mereka lebih baik jika ingin jual pada harga mencapai RM3000.

BATERI DAN PENGECASAN

Biasanya ketika saya menguji telefon pintar, kalau bateri tidak tahan saya boleh maafkan jika ada pengecasan pantas. Untuk tablet sukar saya maafkan kerana Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 ini hanya bertahan sekitar 5 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 3-4 jam SOT untuk penggunaan berat. Benar, pengecasan 120W adalah pantas dan berguna tetapi ia mengganggu proses kerja saya jika belum makan tengah hari bateri tablet sudah mati dan saya perlu keluarkan komputer riba pula.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4Samsung Galaxy Tab S9 FE+Apple iPad Pro M4 11″
12.4″ LCD 3K (3048 x 2032), 3:2, 144Hz
Dolby Vision, HDR10
12.4″ IPS LCD 1.5K (2560 x 1600),
90Hz
11″ Ultra Retina Tandem OLED (1668 x 2420),
120Hz, HDR10, Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)

1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Exynos 1380 (5nm)

4x 2.4 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Crtex-A55
Apple M4 (3nm)

9-Teras (3x Teras Prestasi, 6x Teras Efisien): 256/512 GB

10-Teras 4.4 GHz (4x Teras Prestasi, 6x Teras Efisien) – 1/2 TB
Adreno 740Mali-G68 MP5Apple GPU – 10 Teras
8/12 GB LPDDR5X8/12 GB8/16 GB
256/512 GB UFS 4.0128/256 GB256/512 GB
1/2 TB
Kamera Utama

50MP JN1, f/1.8
2MP OV02B1B, f/2.4
Kamera Utama

8MP, Sudut Lebar
8MP, Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama

12MP f/1.8
ToF, LiDAR
Kamera Hadapan

32M POV32D, f/2.2
Kamera Hadapan
12MP
Kamera Hadapan
12 MP, f/2.4
Tiada perlindungan air & debuTiada perlindungan air & debuTiada perlindungan air & debu
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, 6x SpeakerAudio StereoAudio Stereo, 4x Speaker
10,000mAh (Berwayar 120W)10,000mAh (Berwayar 45W)31.29 Wh (Berwayar sehingga 30W)
RM2,799 (8/256 GB)
RM3,099 (12/512 GB)
RM2799 (8/128 GB, WiFi)
RM3099 (8/256 GB, WiFi)
RM3399 (8/128 GB, 5G)
RM3699 (12/256 GB, 5G)
RM5,299 (8/256 GB, WiFi)
RM6,299 (8/256 GB, WiFi + Selular)
RM6,299 (8/512 GB, WiFi)
RM7,299 (8/512 GB, WiFi + Selular)
RM8,299 (16/1000 GB, WiFi)

RM9,299 (16/1000 GB, WiFi + Selular)
RM8,799 (16/1000 GB, WiFi) Nano
RM9,799 (16/1000 GB, WiFi + Selular) Nano
RM10,299 (16/2000 GB, WiFi)
RM11,299 (16/2000 GB, WiFi + Selular)
RM10,799 (16/2000 GB, WiFi) Nano
RM11,799 (16/2000 GB, WiFi + Selular) Nano

APA ADA DALAM KOTAK?

Tidak kira anda beli model 8GB RAM atau 12GB RAM, berikut adalah apa yang anda akan terima dalam kotak;

  • 1x Xiaomi Pad 6S Pro 12.4
  • 1x Kable USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas 120W HyperCharge
  • 1x Set panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Masalah tablet Android ini adalah lebih kurang sama dengan iPad. Setiap kali saya menguji tablet Android saya akan beritahu ia masih tidak sebaik iPadOS. iPad pula mahal tetapi ia masih iPadOS bukannya macOS. Banyak aplikasi yang saya gunakan setiap hari tidak mesra tablet Android dan hanya mod telefon yang dibesarkan. Pelayar web pun mod lalai masih lagi versi mudah alih bukan mod desktop.

Walaupun begitu, untuk penggunaan saya yang menulis artikel, menguji chatbot AI, menyunting gambar ringkas, menyunting video dengan Capcut dan untuk hiburan – Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 ini adalah sebuah tablet Android yang bagus dan jauh lebih berkuasa berbanding Samsung Galaxy Tab S9 FE+ yang dijual pada harga sama tetapi dengan spesifikasi dan prestasi hampir dua kali ganda lebih lemah.

PRO

  • Skrin tablet yang berkualiti dan memuaskan.
  • Sistem operasi yang bagus.
  • Prestasi yang lancar dengan ciri produktiviti yang padu.
  • Kamera yang berkualiti untuk bergambar dan telesidang.
  • Pengecasan yang sangat pantas, 35 minit boleh penuh.

KONTRA

  • Sayang bukan OLED.
  • Masih tidak sebaik iPadOS.
  • Tiada ciri AI generatif seperti tablet pesaing.
  • Bateri tidak tahan lama.
  • Aksesori menarik dijual secara berasingan.
Komen