Carian
Ulasan Huawei Pura70 Pro – Majulah Huaweipura
May 31, 2024 Effi Saharudin

Pada tahun 2019 Huawei dimasukkan ke dalam senarai entiti dan diharamkan daripada menggunakan GMS yang amat diperlukan untuk pasaran peranti global. Tindakan yang amat mengejutkan daripada Amerika Syarikat kerana ketegangan hubungan politik dengan China.

Hanya beberapa tahun sebelum ini Huawei mengeluarkan Nexus 6P yang mengesahkan status mereka sebagai pengeluar yang diyakini Google. Sekelip mata mereka dilayan seperti pesakit kusta. Ramai meramalkan Huawei akan bankrap kerana perniagaan mereka terjejas teruk memandangkan bukan sekadar GMS dihalang tetapi teknologi cip serta 5G.

Pada tahun 1965, Singapura dibuang daripada Persekutuan Malaysia kerana juga kerana ketegangan politik. Seperti Huawei, ramai meramalkan Singapura akan hancur kerana ia tidak mempunyai sumber asli. Terdapat beberapa persamaan antara Singapura dan Huawei. Salah datu daripadanya ialah kemampuan untuk terus berjuang walaupun ramai menanti untuk mereka rebah.

SPESIFIKASI

Huawei Pura70 Pro
Skrin6.8″ LTPO OLED, 120Hz
1260 x 2844 pixel, HDR
Kaca Kunlun
PemprosesHiSilicon Kirin 9100
Cip1×2.3 GHz Taishan Big
3×2.18 GHz Taishan Mid
4×1.55 GHz Cortex-A510
Cip GrafikMaleoon 910
RAM12GB LPDDR4X
Muatan Dalaman512GB UFS 3.2
Kamera Utama50 MP, f/1.4-4.0, OIS (Sudut Lebar)
12.5 MP, f/2.2, (Ultra Lebar)
48 MP, f/2.1, OIS (Telephoto)
Kamera Swafoto13MP f/2.4
Bateri5050 mAh
Pengecasan berwayar 100W
SIM/TelefoniDwi Nano/4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin
Wajah
Harga JualanRM4899 (12/512 GB)

Skrin

Skrin 6.8″ LTPO AMOLED dengan resolusi 1260 x 2844 piksel dan kadar segar semula yang 120Hz. Panel boleh mencapai keterangan puncak 2500 nits tetapi ini adalah lebih rendah berbanding peranti mercu Samsung, Honor dan Oppo yang kini boleh mencecah lebih 4000 nits. Sungguhpun begitu skrin memaparkan warna yang terang dan nampak hidup. Tiada isu melihat skrin di bawah matahari yang terang.

Pengesanan sentuhan juga baik dan begitu juga tatalan terasa lancar. Bezel adalah sekata pada keempat-empat sisi tetapi saya kurang menggemari rekaan sisi dibulatkan pada semua arah. Ini adalah rekaan skrin seakan Honor Magic pertama yang cantik tetapi saya rasakan tidak praktikal jika peranti terjatuh.

Huawei walau bagaimanapun mengatakan Kaca Kunlun generasi kedua yang digunakan adalah cukup tahan lasak menahan sebarang hentakan. Tetapi isu lain yang kurang disenangi ialah kandungan skrin melimpah ke semua sisi dan sudut. Trend semasa ialah menggunakan skrin rata dan Huawei masih berani menggunakan rekaan skrin melimpah ke sisi bagi memberikan kelainan. Markah diberikan untuk keberanian untuk tidak mengikut pengeluar lain walaupun mendedahkan sisi kaca kepada hentakan.

Terdapat sokongan HDR tetapi sekadar HDR biasa sahaja. Tiada masalah memaparkan kandungan HDR di YouTube dan Prime Video tetapi tiada sokongan untuk Netflix dan Disney+ Hotstar.

Biometri

Pengimbas cap terletak di bawah skrin dan ianya berfungsi dengan pantas. Terdapat juga sistem imbasan wajah yang juga pantas asalnya di kawasan terang. Dalam keadaan gelap ia sedikit perlahan kerana tiada pemancar IR seperti yang digunakan pada Mate20 Pro suatu ketika dahulu.

Rekaan

Sekatan teknologi tidak langsung meninggalkan impak negatif ke atas rekaan serta kemasan peranti Huawei. Bingkai logam yang berkilat mempunyai sisi dibulatkan. Peranti amat selesa di dalam tangan ketika digunakan. Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bonggol kamera yang unik. Ketika pengeluar lain sibuk cuba mengambil inpirasi daripada bonggol iPhone, Huawei menggunakan rekaan bonggol dengan mata tiga yang kelihatan seperti “hidden Mickey” dari jarak jauh.

Pasti ada yang mengatakan rekaan ini aneh tetapi dalam dunia peranti pelanduk dua serupa, rekaan yang berani menongkah arus harus diberikan pujian. Lena kamera utama adalah amat besar dan oleh itu peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Ini ialah isu yang wujud pada semua peranti mercu maka untuk hanya mengkritik Huawei saya rasakan kurang adil.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan dengan ia selesa ditekan. Terdapat garis merah pada butang kuasa untuk memudahkan ia dibezakan daripada butang laras audio. Pemancar IR diletakkan di atas manakala kekisi speaker, port pengecas USB-C dan talam SIM diletakkan pula di bahagian bawah. Keseluruhan tubuh melepasi piawaian IP68 yang membolehkan ia kalis air sehingga kedalaman 1.5 meter.

Jika anda sukakan rekaan sisi melengkung, Pura70 Pro adalah peranti untuk anda. Ia mengingatkan saya kepada rekaan iPhone 13 Pro Max yang hampir serupa. Dari segi kualiti binaan, Huawei masih mengekalkannya di tahap mercu membuatkan peranti mereka nampak serta terasa premium di dalam tangan.

Penggunaan dan Perisian

Di Malaysia EMUI 14.2.0 digunakan dengan ia dipercayai berasaskan Android 12. Tetapi di masa hadapan Huawei akan menggunakan HarmonyOS sepenuhnya yang tidak mempunyai sebarang komponen Android. Ada berita baik di sini iaitu aplikasi Android masih lagi boleh dipasang secara sideload jika tidak ditawarkan menerusi App Gallery.

KIita mulakan dengan perkara positif iaitu antaramuka EMUI adalah kemas, cantik, dan amat lancar digunakan walaupun. Selepas tidak lagi dikekang oleh halangan Android, pelbagai ciri mula ditambah seperti Super Device dan juga Control Panel yang memberikan pilihan kawalan lebih pelbagai. Peranti juga boleh dikawal tatalan dengan gestur tanpa skrin disentuh menerusi Air Gesture. Tangkapan skrin juga boleh dilakukan menggunakan gestur tangan nirsentuh sepenuhnya. Untuk privasi, aplikasi boleh dikunci dan fail disulitkan bagi mengelakkan ia diakses oleh orang selain anda.

Tetapi jelas untuk menikmati peranti Huawei, anda harus memiliki ekosistem yang lengkap. Dengan EMUI anda boleh memindahkan fail ke komputer riba lebih pantas dengan Huawei Share. Berkongsi skrin pada tablet Huawei dan juga menyokong tambatan pelbagai aksesori audio dan speaker pintar keluaran mereka secara setempat. Jika anda sudah melakukan pelaburan ke dalam ekosistem Huawei, kesemua ciri ini berfungsi dengan cukup baik.

Ada Google?

Tak boleh mengulas peranti Huawei tanpa menyentuh isu GMS. Hakikatnya di Malaysia sokongan aplikasi Google adalah perlu tidak seperti di China. Secara rasminya ia tidak disokong tetapi pembeli Pura70 Pro boleh memasang Gbox yang membolehkan Play Store, YouTube, YouTube Music, Google Photos, Gmail, Disney+ Hotstar dan pelbagai lagi aplikasi yang memerlukan GMS berfungsi.

Implementasi aplikasi Google pada Pura70 Pro adalah yang paling mudah setakat ini berbanding dua tahun lalu. Aplikasi boleh dikemaskini menerus Play Store atau App Gallery. Masih belum cukup lancar atau tanpa isu berbanding peranti Android sebenar tetapi sekurang-kurangnya sudah ada alternatif.

Saya boleh menggunakan YouTube Premium tanpa isu. Tetapi bila memasang Chrome, aplikasi tidak boleh dikemaskini menerusi Play Store. Perlu dilakukan menerusi App Gallery menerusi pemasangan semula aplikasi. Seperti saya katakan tadi GBox belum cukup sempurna. Harus juga ditekankan Netflix hanya menyokong HDR tetapi pada resolusi SD sahaja.

Penanda Aras

Kirin 9010 ialah cip kedua berjaya dikeluarkan sendiri oleh Huawei selepas Kirin 9000s. Kedua-duanya dibangunkan menggunakan teknologi 7nm yang kini adalah dua generasi di belakang cip mercu Snapdragon 8 Gen 3.

Untuk melihat perbezaan prestasi saya bandingkan Pura70 Pro dengan Honor Magic6 Pro (Snapdragon 8 Gen 3), OnePlus 12R (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200), Nothing Phone 2 (Snapdragon 8+ Gen 1) dan OnePlus Nord 3 5G (Dimensity 9000)

Geekbench 6

  • Huawei Pura70 Pro – 1315/3895
  • Honor Magic6 Pro – 1,366,519
  • OnePlus 12R – 1081/4204
  • Vivo X90 – 1668/4000
  • Nothing Phone (2) – 1734/4576
  • OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337

Antutu 3D

  • Huawei Pura70 Pro – 862,688
  • Honor Magic6 Pro – 1362/4677
  • OnePlus 12R – 1,431,444
  • Vivo X90 – 1,147,029
  • Nothing Phone (2) – 1,142,277
  • OnePlus Nord 3 5G – 914,552

3D Mark Wild Life Extreme

  • Huawei Pura70 Pro – 1376
  • Honor Magic6 Pro – 2,492
  • OnePlus 12R – 3712
  • Vivo X90 – 3176
  • Nothing Phone (2) – 2584
  • OnePlus Nord 3 5G – 2296

Markah penanda aras Kirin 9010 memang tidak memberangsangkan dengan ia lebih rendah walaupun dibandingkan dengan Snapdragon 8+ Gen 1 yang dilancarkan pada tahun 2021. Huawei cuba memberikan yang terbaik tetapi hakikatnya halang teknologi yang dikenakan Amerika membuatkan teknologi mereka tidak setanding teknologi semasa.

Sungguhpun begitu peranti beroperasi dengan cukup lancar setanding dengan peranti kelas pertengahan premium di pasaran sekarang. Tiada isu menjalankan pelbagai aplikasi lazim yang dipasang. Cuma prestasi menjalankan permua ia lebih mirip peranti kelas pertengahan. COD Mobile boleh dijalankan pada tetapan sederhana pada FPS memuaskan begitu juga dengan PUBG Mobile dan Diablo Immortal. COD Warzone Mobile boleh dimainkan tetapi pada tetapan lebih rendah. Jika prestasi gaming amat perlu untuk anda, Kirin 9010 boleh menjalankan majoriti permua tetapi bukan pada tahap paling tinggi.

Telefoni dan GPS

Peranti sekadar menyokong rangkaian 4G dan WiFi 5GHz. Saya sebenarnya kecewa sokongan 5G yang diberikan pada peranti di China tidak diberikan pada peranti eksport. Mengapa ia tidak diberikan adalah misteri yang belum mampu saya rungkaikan. Yang boleh saya katakan kualiti panggilan suara adalah amat baik dan begitu juga dengan GPS. Ketiadaan 5G pada tahun 2024 kini boleh dilihat sebagai kekurangan besar kerana ia sudah boleh dinikmati lebih 85% kawasan berpenduduk di Malaysia.

Kamera

Tiada Hassleblad, tiada Zeiss dan tiada Leica. Yang ada hanyalah sistem pengimejan Xmage yang dibangunkan sendiri oleh Huawei. Sistem kamera terdiri daripada lensa utama 50MP sudut lebar, 12 sudut ultra lebar dan 48MP telefoto. Terdapat sistem OIS pada lensa sudut lebar dan telefoto. Sistem seakan Sensor Shift dan sentut hanya diberikan pada model Pura70 Ultra. Di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP.

Walaupun tiada lagi kerjasama dengan syarikat fotografi terkemuka, kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera Pura70 Pro adalah amat memuaskan. Imej tajam dan penghasilan warna yang nampak hidup. Ada yang mengatakan saturasi warna adalah terlalu tinggi berbanding asal tetapi saya tahu tak semua orang mahu mengambil gambar “asli”. Kerap kali saya rasakan “asli” nampak kelam dan tak bermaya. Saya secara peribadi lebih gemarkan gambar yang terdapat pasca-proses walaupun tidak lagi “asli”.

Bateri

Dengan bateri berkapasiti 5,050mAh ialah kapasiti yang agak aneh saiznya. Berdasarkan penggunaan sederhana, tiada masalah untuk peranti bertahan sepanjang hari sehingga 15-16 jam manakala SOT pula mencecah 8 jam. Hayat bateri yang sederhana sahaja. Teknologi 7nm pada Kirin 9010 tidak boleh menawarkan penjimatan kuasa sebaik Snapdragon 8 Gen 3 dengan teknologi 4nm.

Kekurangan ini berjaya dikurangkan dengan pengecasan 66W yang mengisi semula bateri dalam masa sekitar 40 minit. Pengecas diberikan dengan setiap pembelian dan paling menarik ia menyokong kabel USB-A dan USB-C. Dengan ini pengecas dengan output 100W ini turut boleh digunakan untuk mengecas komputer riba. Terdapat juga sokongan pengecas 80W yang juga pantas tetapi kami tidak dapat mengujinya sendiri.

Audio

Speaker stereo pada peranti menyokong sistem audio Huawei Histen yang seimbang. Pada tetapan paling lantang audio masih lagi jelas pada speaker fizikal. Tetapi apabila saya menggunakan AirPods atau Sony WH1000XM5, saya sedari tahap kelantangan audio yang boleh dinikmati adalah rendah. Tetapan paling tinggi adalah sekitar 60% kelantangan yang boleh saya dengar pada peranti Android lain. Ini adalah isu berbangkit yang saya alami apabila menggunakan peranti Huawei dan Honor. Mungkin wujud tetapan yang “menjaga telinga” sehingga menghalang audio lantang dimainkan menggunakan aksesori audio bluetooth.

Pesaing

Huawei Pura70 ProOnePlus 12RPoco F6 Pro
6.78″, LTPO4 AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision 6.78″, LTPO4 AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision6.67″ AMOLED, QHD+, 120Hz, Dolby Vision
Kirin 9010 (7nm)
1×2.3 GHz Taishan Big
3×2.18 GHz Taishan Mid
4×1.55 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Maleoon 910Adreno 740Adreno 740
12GB LPDDR4X16GB LPDDR5X12/16GB LPDDR5X
512GB UFS 3.2256GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP, f/1.4-4.0, OIS (Sudut Lebar)
12MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
48MP, f/2.1, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Hadapan
13-MP f/2.4
Kamera Hadapan
16-MP f/2.4
Kamera Hadapan
16-MP
IP68IP68IP54
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5050 mAh (Berwayar 100W)5500 mAh (Berwayar 100W)5000 mAh (Berwayar 120W)
RM 4899 (12/512 GB)RM 3199 (16/256 GB)RM 2299 (12/256 GB)
RM 2499 (16/512 GB)

RM 2899 (16/1000 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Huawei Pura70 Pro
  • 1x Kerangka lutsinar
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Buku panduan.

Kesimpulan

Huawei Pura70 Pro ialah peranti mercu yang mempunyai rekaan dan kemasan yang cukup premium. Kemampuan kameranya adalah amat memuaskan dibantu oleh sistem operasi yang berjalan cukup lancar tanpa sebarang isu besar menjalankan aplikasi. Tanpa GMS, App Gallery menawarkan majoriti aplikasi yang diperlukan pengguna. Menerusi GBox pula keperluan aplikasi Google pembeli juga dapat dipenuhi. Secara keseluruhan Pura70 Pro ialah peranti yang tidak mengecewakan apabila digunakan selama lebih dua minggu.

Tetapi hakikatnya ialah dengan Kirin 9010, Pura70 Pro ialah sebuah peranti kelas pertengahan dengan prestasi cip mercu tahun 2021 dan adalah sebuah peranti 4G LTE. Memori dan storan juga menggunakan komponen yang sudah sedikit berusia. Maka dengan harga jualan RM4899 sebuah, ia sukar untuk disarankan kepada pembeli kecuali anda memang peminat tegar Huawei serta ekosistem mereka. Dalam kategori ini wujud Nothing Phone (2), Poco F6 Pro, OnePlus 12R dan Oppo Reno11 Pro 5G yang menawarkan prestasi serta pengalaman setanding tetapi pada harga lebih kompetitif.

Pro

  • Skrin terang, pantas dan responsif 120Hz.
  • Perisian yang penuh ciri tambahan dan lancar.
  • Kemampuan fotografi yang baik.
  • Hayat bateri memuaskan dengan pengecasan pantas.
  • Peranti mercu untuk peminat ekosistem Huawei.
  • Kalis air IP68
  • Sokong aplikasi Google semakin baik.

Kontra

  • Harga tidak kompetitif.
  • Prestasi cip sekadar setaraf kelas pertengahan.
  • Skrin melengkung pada semua.
  • Hanya menyokong 4G dan WiFi 5GHz
Komen