Carian
Google Photos Kelak Boleh Menyembunyikan Meme Dan GIF Yang Anda Sandarkan
May 17, 2024 Fahim Zahar

Google Photos adalah aplikasi album yang menarik. Ia bukan sahaja menyandarkan gambar dan video ke awanan tetapi turut hadir dengan ciri seperti memudahkan mencari gambar, ciri Memories yang mengumpulkan memori indah dan akan datang akan dikuasakan dengan Gemini untuk ciri AI Ask Photos. Terbaru, Google menguji kemampuan menyembunyikan meme dan GIF yang telah disandarkan agar laman utama Google Photos lebih kemas.

Ciri ini adalah untuk pengguna yang kerap menyandarkan folder lain ke Google Photos. Ini kerana semua folder yang disandarkan, foto dan videonya akan dipaparkan di laman utama Google Photos. Dengan ciri Photos from other apps, pengguna boleh pilih sama ada ingin Show all (tunjuk semua), Hide clutter (sembunyikan meme dan GIF), Show none (hanya akan memaparkan imej dari DCIM) atau Custom (tetapkan sendiri). Selepas melakukan tetapan dan sedikit perubahan, laman utama Google Photos akan menjadi lebih teratur.

Apa yang menarik dengan ciri ini adalah, pengguna boleh menyandarkan semua gambar tetapi mempunyai kawalan untuk memaparkan apa di Google Photos. Perkongsian album juga selepas ini lebih mudah. Bukan itu sahaja, walaupun imej atau video telah disembunyikan sistem carian pada Google Photos turut masih boleh mencarinya.

Ciri ini masih berada dalam peringkat ujian, ia sudah tersedia di dalam kod aplikasi sedia ada tetapi Google belum mengaktifkannya. Ini adalah antara ciri yang saya nanti-nantikan kerana laman utama Google Photos saya sudah serabut dengan pelbagai tangkapan layar, sampel kamera dan gambar produk yang perlu disusun semula.

Komen