Fujifilm telah melancarkan GFX100S II sebagai tambahan baharu untuk barisan kamera format sederhana siri GFX mereka. Model baharu ini direka untuk memberi kualiti dan prestasi imej di tahap terbaik dalam kelasnya. Selain turut mengetengahkan binaan tubuh yang jauh lebih ringan berbanding model terdahulu.

Menyentuh mengenai spesifikasi, GFX100S II menggunakan sensor 102MP BSI CMOS II baharu yang dipadankan dengan cip pemprosesan imej terkini X-Processor 5.. Sensor juga menawarkan julat kadar sensitiviti pencahayaan standard diantara ISO80~12800 untuk kedua-dua rakaman video dan imej pegun. Kemampuan video pula sehingga 4K30FPS dalam 10-bit 4:2:2 boleh dilakukan. Selain turut menyokong rakaman Apple ProRes melalui SSD luar (menggunakan kabel USB-C).


Kamera juga menawarkan fungsi auto fokus yang mengesan subjek berasaskan AI dan kelajuan tangkapan berterusan sehingga 7.0 bingkai sesaat. Tidak ketinggalan, sistem penstabilan (IBIS) lima paksi terbina turut disertakan. Viewfinder pula sebesar 0.64″ OLED dengan 9.44 juta titik. Sebuah skrin LCD sesentuh 3.2″ disertakan pada panel belakang dan boleh digerakkan bagi tujuan fleksibiliti.

Fujifilm GFX100S II dijual di Malaysia pada harga RM26,888 untuk tubuh sahaja dan boleh dipratempah bermula sekarang. Hadiah menarik disediakan untuk masa terhad, selain rebat sehingga RM800 turut boleh dinikmati apabila anda melakukan tukar ganti dengan sebarang kamera Fujifilm terpilih.