Carian
Microsoft Meminta Pekerja Mereka Di China Untuk Berpindah Negara
May 17, 2024 Nazrin

Konflik perdagangan diantara Amerika Syarikat dan China nampaknya berterusan untuk seketika, dan terkini, Microsoft nampaknya salah sebuah syarikat Amerika yang sangat terkesan dengan perbalahan ini.

Microsoft telah meminta para pekerja mereka di China untuk memberi pertimbangan untuk berpindah ke negara yang lain, khususnya dengan isu sekatan perdagangan yang semakin diperhebatkan oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap China.

Reuters dan Wall Street Journal melaporkan bahawa Microsoft telah meminta seramai 800 para pekerja China mereka yang bertugas dalam bahagian pembelajaran mesin dan perkomputeran awanan untuk berpindah ke negara-negara lain buat seketika ini, dengan pilihan yang diberikan termasuklah Amerika Syarikat, Ireland, Australia, dan New Zealand.

China Amerika

Microsoft menjawab pertanyaan Wall Street Journal mengenai perkara ini mengatakan bahawa penawaran berpindah negara ialah sesuatu yang ditawarkan kepada ramai para pekerja syarikat tersebut, dan penawaran terbaru ini adalah salah satu daripadanya.

Kebelakangan ini, kerajaan Amerika Syarikat dilihat telah mengetatkan lagi sekatan perdagangan dimana bukan sahaja produk-produk elektronik yang dibuat dengan teknologi Amerika Syarikat, tetapi juga komponen-komponen elektronik yang dibangunkan dan boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan dan kemajuan kecerdasan buatan tidak lagi boleh dijual kepada syarikat-syarikat di China.

Perang dingin teknologi ini nampaknya akan berterusan sehinggalah Amerika Syarikat dan China akan memaksa pihak masing-masing untuk terus membuat keputusan-keputusan buruk yang tidak akan memihak ke mana-mana pihak, samada masing-masing ataupun negara-negara yang lain.

Komen