Carian
Sony Music Beri Amaran Ke 700 Syarikat Untuk Tidak Menggunakan Muzik Mereka Latih AI
May 17, 2024 Fahim Zahar

Sejak kebelakangan ini banyak berita dilaporkan yang syarikat teknologi membayar lesen untuk akses data pengguna dari perkhidmatan lain bagi melatih sistem kecerdasan buatan mereka. Antaranya adalah Reddit dengan Google, Stack Overflow dengan OpenAI dan banyak lagi. Seperti Google yang memberi peringatan kepada syarikat teknologi untuk tidak menggunakan video YouTube melatih AI, Sony Music Group telah memberi amaran kepada 700 syarikat teknologi.

Nama 700 syarikat teknologi ini tidak didedahkan tetapi Sony Music bertegas memberitahu yang sebagai antara syarikat label muzik terbesar dunia, syarikat teknologi tidak dibenarkan menggunakan seni album, lirik, metadata dan komposisi muzik untuk melatih model kecerdasan buatan. Ini adalah bagi melindungi karya kreatif artis mereka dan juga menjaga hak cipta yang berdaftar.

Buat masa ini masih tidak pasti sama ada Suno, Udio atau perkhidmatan menjana muzik dengan AI lain menggunakan data-data daripada Sony Music Group. Apa-apa pun adalah langkah bagus bagi Sony mengeluarkan amaran seperti ini, kerana boleh mengurangkan inisiatif ciptaan pelbagai kandungan muzik berasaskan AI yang mungkin tidak hormat karya asal.

Komen