Google Passkey adalah kaedah log masuk tanpa kata laluan yang menerima pengiktirafan FIDO dan digunakan oleh banyak pengeluar seperti Google, Apple, Microsoft dan ramai lagi. Google telah mula mewajibkan penggunaan Passkey serta mengarahkan pengguna mengaktifkan keselamatan dwi-faktor. Akan datang, Passkey akan terus diintegrasikan dalam Android 15 dan Wear OS 5.


Sebelum ini, menggunakan Passkey pada Android memerlukan dua tap iaitu pengesahan akaun dan kemudian pengesahan identiti. Akan datang peranti Android hanya akan ada satu pilihan iaitu terus mengesahkan identiti. Jika pengguna ada banyak akaun barulah perlu tekan More options untuk pilihan alternatif.

Sementara itu, pada papan kekunci Gboard – Passkey turut akan dimasukkan seperti pilihan kata laluan atau Sign in With Google. Jika pengguna memilih Passkey, nama akaun akan dipaparkan untuk log masuk ke sesuatu perkhidmatan dengan mudah. Wear OS 5 turut akan menerima Passkey terbina, di mana pengguna boleh pilih kaedah log masuk dengan lebih pantas.