LottieFiles merupakan salah satu platform rekabentuk yang memudahkan integrasi animasi pada sebarang projek aplikasi atau pembangunan web, melalui penggunaan format *lottie – sekaligus menawarkan pengoptimasian dan membolehkan animasi ringkas dijalankan tanpa mengambil masa yang lama untuk dimuatkan. Format fail ini agak popular, dan digunakan meluas oleh pelbagai pembangun dan perekabentuk seluruh dunia pada aplikasi masing-masing.
LottieFiles ini berpusat di Malaysia dan Amerika Syarikat. Hari ini, mereka turut mengumumkan yang telah menerima suntikan dana pelaburan strategik daripada Figma Ventures dan juga Webflow Ventures, sekaligus terus mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam arena rekabentuk. LottieFiles dikatakan mempunyai lebih 9 juta pengguna seluruh dunia, dan ratusan ribu pasukan rekabentuk yang menggunakan platform tersebut.
Sebelum ini, beberapa nama besar turut telah melakukan pelaburan pada syarikat berkenaan, termasuk seperti Microsoft Ventures, Adobe, dan juga Automattic.