Carian
Ulasan Oppo A60 – Fungsi Lebih Daripada Memadai
May 23, 2024 Amy Maizuraa

Oppo A60 merupakan salah satu telefon pintar bajet terkini daripada jenama berkenaan. Ia dijual di Malaysia dengan harga jualan bermula RM699 yang juga sekadar menawarkan kemampuan LTE. Namun telefon ini lebih memadai untuk sesiapa sahaja yang mencari produk dengan harga yang murah. Berikut adalah ulasan penuh OPPO A60 untuk melihat lebih lanjut mengenai penawarannya.


Spesifikasi

Oppo A60
Skrin6.67″ IPS LCD, HD+, 90Hz
PemprosesQualcomm Snapdragon 680 (6nm)
Cip4 X 2.4 GHz Cortex-A73
4 X 1.9 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 610
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256GB UFS 2.2
Mikro SD 1TB
Kamera Utama50MP, f/1.8 (Utama)
2MP, f/2.4 (Bokeh)
Kamera Swafoto13MP f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniNano/4G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Imbasan wajah
Harga JualanRM699 (8/128GB)
RM799 (8/256GB)

SKRIN DAN REKABENTUK

Oppo A60 menggunakan skrin 6.67″ IPS LCD dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Ia juga sejenis dinamik yang berubah bergantung pada situasi. Pengguna boleh memilih untuk menetapkannya dengan kadar segar semula yang tinggi atau menurunkan kepada 60Hz untuk penjimatan bateri. Selain turut menawarkan nisbah aspek 18:9 bersama saiz bezel tidak sekata dengan dagu yang besar.

Skrin IPS LCD digunakan mempunyai lubang kecil di bahagian tengah untuk kamera swafoto tunggal dengan resolusi 13MP. Skrin masih baik walaupun menyokong HD+ namun kekurangan terletak pada sudut pandang yang terhad. Warna juga kurang menyerlah khususnya apabila digunakan untuk menonton video di Netflix. Namun kalau sekadar mahu digunakan untuk melayari web dan aplikasi media sosial rasanya boleh diterima.

Cumanya pengalaman menatal tidak terlalu lancar lebih-lebih lagi digunakan pada kandungan web yang panjang. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang baharu malahan kelemahan yang kerap berlaku untuk skrin sebegini. Bagi sebuah peranti dengan harga jualan bawah RM1,000 juga masih boleh dimaafkan. Malahan boleh digunakan seperti biasa khususnya bagi mereka yang merasakan sokongan skrin ditawarkan mencukupi.

Keseluruhan peranti pula menggunakan bahan berbeza yang terdiri dengan panel belakang plastik berkilat bersama bingkai sisi aloi aluminium. Ikhlas kami katakan masih padanan bahan binaan yang baik dalam kelasnya memandangkan peranti amatlah selesa di genggaman. Tambahan pula binaan yang sepenuhnya rata bersama bucu dibulatkan membolehkan telefon dipegang dengan mudah. Rekaan skrin yang rata juga membolehkan pelbagai kandungan khususnya video dapat ditonton tanpa isu melimpah ke sisi.

Menariknya lagi apabila skrin peranti turut mempunyai ketahanan gred askar MIL-STD yang bermakna tahan lasak dalam berbagai senario pemakaian. Kami sempat mengujinya dengan memecahkan kacang dan ais ternyata hasilnya skrin masih elok untuk digunakan seperti biasa. Pada bahagian belakang terdapatnya dua bonggol dengan sistem dwi-kamera digunakan pada peranti. Satu lensa besar mendominasi pada bonggol di bahagian atas dengan satu lagi lensa diletakkan berasingan dalam bonggol di bawah bersama sebuah LED Flash.

Bahagian belakang berkilat kelihatan premium dan tidak terasa murah seperti kebanyakan peranti dalam kelas yang sama. Khususnya untuk warna biru atau Ripple Blue yang mempunyai kilauan halus untuk kesan yang lebih menyerlah. Ia diinspirasikan daripada keindahan ombak di lautan biru dengan sentuhan unik seakan berlian yang berkilau.

Bahan khusus turut digunakan dalam proses pembuatannya untuk mencipta kesan tiga dimensi seperti ombak yang sentiasa beralun tenang di permukaan laut. Terdapat satu lagi pilihan warna dipanggil Midnight Purple namun kami tidak berpeluang untuk melihat dengan mata sendiri.

Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui pada sisi kanan. Kesemuanya dibina dengan baik bagi memastikan keselesaan ketika jari menekan. Selain turut memuatkan pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa tersebut di samping talam SIM pula diletakkan pada sisi bertentangan. Kami menyukai sensor pengimbas cap jari tersebut kerana prestasi yang pantas dan mudah digunakan.

Sementara itu port USB-C bersama di bahagian bawah bersama pembesar suara, lubang mikrofon dan bicu audio 3.5mm. Benar telefon baharu ini mempunyai bicu audio 3.5mm yang semestinya menjadi nilai tambah menarik. Hal ini memandangkan tidak ramai pengeluar yang menyertakan fungsi berkenaan pada peranti terkini masing-masing.

Bagi ciri lain ialah peranti melepasi piawaian kalis air IP54 yang bermakna tahan percikan dan habuk. Namun tidak boleh direndam secara langsung ke dalam air. Kemudian terdapatnya ciri Splash Touch yang dikatakan mampu meningkatkan ketepatan sentuhan walaupun jari sedang basah. Persediaan pembesar suara stereo yang disediakan pada peranti juga mampu menghasilkan bunyi yang baik.


PERKAKASAN DAN PERISIAN

Perisian terkini ColorOS 14 berasaskan Android 14 digunakan pada peranti. Seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, ia mempunyai beberapa ciri baharu yang boleh dimanfaatkan dengan baik. Misalnya seperti reka bentuk Aquamorphic yang dikemaskini, lebih banyak ciri pintar AI dan pelindungan privasi. Cuma masalah aplikasi gendut masih berlaku dengan kebanyakannya telah dipra-pasang secara langsung.

Boleh dikatakan bahawa sebahagian besar skrin utama ditenggelami oleh aplikasi permainan, media sosial dan banyak lagi yang tidak diperlukan. Sekaligus boleh menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak. Meskipun boleh dinyahpasang namun masih dianggap merumitkan bagi mereka yang tidak tahu caranya.

Seterusnya, cip Snapdragon 680 digunakan untuk tunjang utama. Gabungan memori 8GB RAM LPDDR4X dan storan 256GB dianggap lebih daripada memadai malahan boleh dipertingkatkan lebih besar menggunakan ruang mikroSD. Secara umumnya ia bukanlah penawaran cip yang paling berkuasa dalam kelasnya tetapi cukup digunakan tanpa isu melampau untuk sebahagian besar tugas harian.

Begitu juga dengan pengalaman memainkan permua kasual yang sepatutnya dapat berjalan dengan lancar. Namun permainan berat yang lebih mencabar mungkin akan menyebabkan berlaku masalah seperti isu lengah masa. Ujian penanda aras turut sempat dijalankan pada peranti:

Antutu 3D Benchmark

  • Oppo A60 – 298,308
  • Tecno Spark 20 Pro – 420,193
  • Realme C67 – 304,413
  • Honor X7b – 313,453

Geekbench6

  • Oppo A60 – 411/1469
  • Tecno Spark 20 Pro – 706/1872
  • Realme C67 – 470/1530
  • Honor X7b – 412/1425

WildLife Extreme

  • Oppo A60 – 126
  • Tecno Spark 20 Pro – 345
  • Realme C67 – 133
  • Honor X7b – 120

KAMERA DAN KUALITI GAMBAR

Oppo A60 dilengkapi sistem dwi-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera bokeh 2MP. Ia menawarkan sebahagian besar ciri yang boleh diharapkan daripada sebuah peranti dalam kelas begini. Misalnya seperti Night, Video, Photo, Potrait dan banyak lagi. Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Seterusnya video pula hanya boleh dirakam pada tetapan maksimum 1080P/30fps pada kedua-dua belah kamera. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.

Kualiti gambar yang diambil melalui kamera utama tidak konsisten. Hasilnya kelihatan baik bersama butiran mencukupi apabila digunakan dalam pencahayaan terang. Penghasilan semula warna juga lebih daripada memadai dalam kebanyakan situasi. Ciri AI terbina pula ada masanya menaikkan lagi kontras pada gambar lalu memberi kesan warna lebih tepu.

Sementara itu, gambar dalam pencahayaan rendah pula mula menampakkan tahap keperincian menjadi lembut bersama masalah hingar agak ketara. Fungsi Night Mode khusus tidak banyak membantu dalam hal ini. Sokongan zum pula hanya praktikal sehingga 3X untuk hasil yang masih senonoh.


KETAHANAN BATERI

Kapasiti bateri Oppo A60 ialah 5000mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 33W. Peranti boleh bertahan lebih daripada satu hari dengan kegunaan biasa. Kemudian bertahan sekurang-kurangnya sembilan jam dari tahap 100% – 20% apabila digunakan untuk aktiviti harian dengan skrin 90Hz yang diaktifkan.

Melaluinya peranti digunakan untuk sebahagian besar aktiviti harian seperti membalas mesej di Telegram, mendengar spotify, mengambil gambar dan memainkan permua kasual. Kesemuanya juga melibatkan kebergantungan capaian sambungan WiFi dan hostpot semata. Dengan pengecasan pantas 33W pula, peranti boleh dicas sehingga penuh dalam masa 90 minit.


PRESTASI AUDIO

Terdapat pembesar suara stereo dengan kebolehan kelantangan bunyi mencapai 300%. Audio sekadar sederhana sahaja tetapi berkurang-kurangnya stereo sedangkan majoriti peranti sebegini dilengkapi pembesar suara mono. Audio lantang cuma tidak jelas pada tetapan paling tinggi. Masih terdapat bicu audio 3.5mm yang amat berguna untuk pengalaman audio lebih imersif.


APA DI DALAM KOTAK?

Berikut ialah yang disertakan di dalam kotak pembelian peranti:

  • 1 x Oppo A60.
  • 1 x Kepala Pengecas 33W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

PERANTI PESAING

Oppo A60Huawei Nova 12 SETecno Spark 20 Pro
6.6″ IPS LCD, 90Hz
720 x 1604 pixels, 20:9 ratio
(~264 ppi)
6.67″ OLED, 90Hz
1080 x 2400 pixels, 20:9 ratio
(~395 ppi)
6.6″ IPS LCD, 120Hz
1080 x 2460 pixels (~396 ppi density)
Snapdragon 680 4G (6 nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 4G (6 nm)
4 x 2.4 GHz Cortex-A73
4 x 1.9 GHz Cortex-A53
Mediatek Helio G99 (6nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 610Adreno 610Mali-G57 MC2
8GB RAM8GB RAM8GB RAM
256 GB ROM256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, (lebar), PDAF
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
Kamera Utama
108 MP, f/1.9, (lebar), PDAF
8 MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2 MP, f/2.4, (makro)
Kamera Utama
108 MP, f/1.8, (lebar), PDAF
0.08 MP (AI)
Kamera Hadapan
8 MP, f/2.0, (lebar)
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.5, (lebar)
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2, (lebar)
IP54TiadaTiada
Bicu audioTiadaBicu audio
Audio stereoAudio monoAudio stereo
5,000mAh
Berwayar 33W
4,500 mAh
Berwayar 66W
Berbalik 5W
5,000mAh
Berwayar 33W
RM699 (8/128GB)
RM799 (8/256GB)
RM1499 (8/256GB)RM 699 (8/256 GB)
RM 799 (12/256 GB)

KESIMPULAN

Oppo A60 menawarkan pengalaman yang premium, bateri yang baik dan banyak ciri yang membolehkan anda melupakan sejenak telefon pintar bajet dalam kelas yang sama. Selagi anda boleh berkompromi dengan prestasi harian yang sederhana, masalah bloatware dan paparan resolusi rendah. Oppo juga sentiasa melakukan yang baik untuk menjadikan telefon bajetnya ini bernilai dengan tanda harganya meskipun tiada sokongan 5G. Misalnya seperti diberi piawaian IP54 untuk rintangan air, pembesar suara stereo, NFC, sistem pengecasan pantas, paparan kadar segar semula tinggi dan lain-lain. Oppo A60 sedia dibeli di Malaysia sekarang dengan harga bermula RM699 (8/128GB) dan RM799 (8/256GB).


PRO

  • Reka bentuk bergaya
  • Skrin 90Hz yang besar
  • Ketahanan bateri yang baik
  • Sistem pengecasan pantas 33W

KONTRA

  • Prestasi kamera tidak konsisten.
  • Skrin resolusi rendah HD+
  • Isu aplikasi gendut.
  • Tiada sokongan 5G
Komen