Telefon pintar kelas asas sejak kebelakangan ini cuba menjadi sebuah produk yang unik dan mencabar pasaran peranti mercu. Tahun ini sahaja kita sudah ada Infinix Note 40 Pro, peranti asas yang lengkap dengan ciri mercu. Sedang ditulis sekarang adalah ulasan Infinix GT 20 Pro, peranti kelas asas untuk gaming. Hari ini yang baru tiba ke pasaran Malaysia adalah sebuah peranti kelas asas untuk fotografi pula iaitu nubia Focus Pro 5G.

Nubia Focus Pro 5G turut hadir dengan butang pengatup fizikal, berbeza dengan pesaing yang menawarkan butang fizikal tambahan seakan Action Button pada iPhone 15 Pro. Skrin peranti adalah IPS LCD bersaiz 6.72-inci beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Peranti ini dijana dengan cip Unisoc T770 yang menggunakan rekaan 6nm dengan konfigurasi 1x 2.2 GHz Cortex-A76 + 3x Cortex-A76 + 4x Cortex-A55 berserta GPU Mali-G57. Ia dipadankan dengan memori 8/256 GB dan menjalankan Android 13.

Peranti ini menggunakan konfigurasi tri-kamera daripada sensor 108MP sudut lebar, OIS + 5MP sudut ultra lebar + 2MP sensor kedalaman dan kamera swafoto 32MP. Seperti peranti mercu, Focus Pro 5G turut boleh ubah jarak fokal dari 18mm, 24mm, 35mm, 50mm atau ke 72mm. Sokongan rakaman RAW atau Super Night RAW turut disediakan untuk hasil fotografi yang lebih profesional.

Butang pengatup pada sisi peranti adalah jenis sentuhan seakan butang bahu pada peranti gaming. Nubia turut tidak segan untuk menyertakan butang yang turut berfungsi sebagai suis gelungsur notifikasi seakan peranti OnePlus, cuma ia boleh ditetapkan pengguna seakan Action Button. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W dan peranti turut hadir dengan sistem speaker DTS Enhanced Audio. Di Malaysia, Nubia Focus Pro 5G ditawarkan pada harga RM999 dengan pilihan warna Classic Black atau Light Brown dengan kulit palsu.

Sempena pelancaran, mereka yang membeli Focus Pro 5G pada 21 Mei 2024 akan menerima diskaun RM50 dan hadiah percuma speaker Bluetooth ZTE. Mereka yang membeli pada 22 Mei 2024 pula hanya akan menerima speaker ini secara percuma. Jualan hanya diadakan di laman rasmi Shopee mereka iaitu nubia Redmagic MY Shopee Official Stores.