Carian
Winamp Akan Menjadi Sumber Terbuka Bermula 24 September Kelak
May 20, 2024 Fahim Zahar

Ketika zaman awal pengkomputeran, tiada perkhidmatan penstriman disediakan. Oleh yang demikian untuk mendengar muzik atau menonton filem, CD perlu dibeli. Untuk pengguna Windows, memainkan muzik pada Winamp menjadi satu aktiviti yang semua tahu. Tahun 2021, Winamp dilancarkan semula sebagai syarikat NFT menjual skin tetapi sambutan yang kurang memberangsangkan. Bermula 24 September tahun ini, Winamp akan menjadikan sumber kod aplikasi pemain muzik mereka ini terbuka kepada semua.

Ini bermakna, jutaan pengguna yang menggunakan Winamp kelak boleh meneroka kod yang diberikan untuk menambah ciri sendiri atau hadir dengan iterasi Winamp tersendiri yang diperibadikan. Pada masa yang sama, bulan Julai akan datang Winamp turut akan hadir dengan aplikasi peranti mudah alih untuk Android dan iOS. Aplikasi ini diumumkan sejak tahun lepas dan masih belum dilancarkan. Winamp oleh Winamp SA di Google Play Store dikatakan bukan aplikasi rasmi mereka.

Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut mengenai kod sumber terbuka Winamp September nanti dan tunggu aplikasi baharu yang akan tiba menjelang Julai akan datang.

Komen