Carian
Honor Perkenal Magic6 Pro Dalam Warna Ungu Pada Harga RM4,499
May 20, 2024 Amy Maizuraa

Honor mengumumkan pengenalan warna baharu untuk peranti mercu Magic6 Pro di Malaysia sekaligus mengemaskini pilihan sedia ada. Variasi tersebut dikenali dengan nama Honor Magic6 Pro Cloud Purple yang menampilkan rona ungu lembut bagi mencetuskan suasana romantik serta elegen buat pengguna moden. Warna ini juga sering menjadi pilihan kebayakan wanita yang turut membangkitkan sisi feminin mereka menerusi penampilan lebih lembut.

Menariknya pilihan warna baharu ini masih menggunakan idea ringkas melalui panel belakang sejenis kulit. Ia turut disesuaikan fungsinya menjadi hiasan utama yang melengkapkan lagi ciri-ciri eksklusif. Di bahagian hadapannya pula dilengkapi skrin OLED yang dilindungi oleh Honor NanoCrystal Shield. Tiada perubahan spesifikasi dibuat bermakna ianya masih sama dengan model sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenainya, tarikan utama peranti sudah tentunya terletak pada prestasi dan sistem kamera. Cip Snapdragon 8 Gen 3 digunakan dengan pilihan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Kameranya pula terdiri dengan 50MP (utama) + 50MP (sudut ultra-lebar) + 180MP (periskop telefoto) dengan OIS. Kamera telefoto ini menyokong zum optikal 3X dan digital 100X. Kamera swafoto pula sebesar 50MP + 3D ToF yang diletakkan dalam lubang kecil di skrin hadapan.

Skrin adalah sebesar 6.8″ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dilengkapi kecerahan setinggi 5,000nits, fungsi PWM Dimming 4,350Hz dan pensijilan HDR10+ beserta Dolby Vision untuk pengalaman lebih baik. Perisian terkini MagicOS 8.0 berasaskan Android 14 dengan model AI turut disertakan untuk sebilangan fungsi baru seperti Magic Portal, Magic Ring dan Magic Capsules.

Lain-lain spesifikasi termasuk bateri 5600mAh yang boleh dicas secara berwayar 80W dan nirwayar 66W. Pembesar suara stereo dengan DTS: X Ultra turut diberikan sebagai pelengkap peranti. Bagi yang berminat, Honor Magic6 Pro Cloud Puple dijual di Malaysia pada harga RM4,499 dengan ketersediaan bermula 31 Mei 2024.

Komen