Carian
Ulasan Nothing Ear Dan Nothing Ear (a) – Selamat Tinggal TWS Mercu
May 29, 2024 Fahim Zahar

Nothing Audio adalah segmen rasmi bagi produk audio mereka yang kini terdiri daripada Nothing Ear (1), Ear (stick), Ear (2), Ear dan Ear(a). Terkini Ear dan Ear (a) dilancarkan tahun ini dengan kedua-duanya diapasarkan sebagai TWS berkualiti bertaraf mercu yang merdu pada harga mampu milik.


REKAAN DAN SPESIFIKASI

Nothing EarNothing Ear (a)
Pemandu Audio

11mm Dinamik Seramik
Ditala oleh Nothing
LDAC, LHDC 5.0
Pemandu Audio

11mm Dinamik
Ditala oleh Nothing
LDAC
Bateri

Fon Telinga – 46mAh
Pod Pengecas – 500mAh
Sehingga 8.5/40.5 jam
Cas 10 minit, guna 10 jam
Bateri

Fon Telinga – 46mAh
Pod Pengecas – 500mAh
Sehingga 9.5/42.5 jam
Cas 10 minit, guna 10 jam
Mikrofon

3x Mikrofon Clear Voice Technology
Algoritma Smart ANC
Mikrofon

3x Mikrofon Clear Voice Technology
Algoritma Smart ANC
Bluetooth 5.3
Google Fast Pair
Microsoft Swift Pair
Bluetooth 5.3
Google Fast Pair
Microsoft Swift Pair
Perlindungan

IP54/IP55
Perlindungan

IP54/IPX2
Aplikasi

Nothing X, Android & iOS
Advanced Equaliser
Find My Earbuds
Aplikasi

Nothing X, Android & iOS
Dwi-TambatanDwi-Tambatan

Berharga RM659

Berharga RM479

Nothing Ear adalah nama yang sangat mengelirukan kerana ia sebenarnya adalah Ear (3). Bukan sekadar mengelirukan, rekaan juga mengecewakan kerana sudah tiga generasi masih sama dengan perubahan yang sangat kecil. Ear kini kelihatan lebih kemas dan saya juga masih suka akan tema lutsinar yang digunakan.

Nothing Ear menggunakan pemandu audio 11 mm jenis dinamik yang diperbuat daripada seramik. Ia juga menggunakan 3x mikrofon Clear Voice Technology untuk audio lebih jelas dan sokongan pembatalan hingar aktif yang lebih pintar. Ear turut menyokong codec LDAC dan LHDC 5.0, dilengkapi Bluetooth 5.3, perlindungan IP55/IP54, boleh menggunakan equaliser lebih profesional dan mempunyai algoritma terbina untuk bass lebih berdentum kencang.

Nothing Ear (a) pula adalah pengganti kepada Nothing Ear (stick), yang mana tiada lagi produk audio jenis separa dalam telinga. Rekaan juga adalah lebih menarik kerana menggunakan pod pengecas mirip bekas menyimpan ubat dan juga lebih kompak. Ia juga adalah produk Nothing pertama (bukan CMF) yang mempunyai pilihan warna kuning selain monokrom.

Pemandu audio juga adalah jenis 11mm dinamik tetapi bukan seramik. Tiada sokongan LHDC 5.0 kerana terhad sehingga LDAC, perlindungan hanya IP54/IPX2 dan turut mempunyai algoritma bass tersendiri. Ia tiada ciri lebih profesional kerana menyasarkan pengguna biasa dan untuk penggunaan lebih ringkas dan bersahaja.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

NOTHING EAR

TWS mercu Nothing sejak Ear (2) adalah kegemaran saya kerana membawakan audio yang lebih berkualiti. Malah kali ini, Nothing benar-benar mencabar TWS mercu lain di pasaran kerana harga yang lebih 50% lebih murah mampu memberi pengalaman pendengaran yang setaraf. Bass pada Ear mampu berdentum dengan kuat dan kencang membuatkan tubuh saya ingin menghentak kaki mengikut irama lagu.

Vokal juga merdu tidak kira penyanyi lelaki atau wanita. Setiap lagu turut mempunyai tahap nada tinggi yang tidak terlampau nyaring untuk alunan muzik yang lebih selesa masuk ke dalam telinga. Sedikit aneh dengan Nothing Ear ini adalah, hanya dengan mod pembatalan hingar aktif serta mod bass enhanced di aktifkan pada laras pertama sahaja menjadikan audio mercu. Jika tidak, pengguna wajib menggunakan Advanced Equaliser untuk menetapkan profil audio yang tersendiri.

Sepanjang berminggu penggunaan, Nothing Ear langsung tidak membawakan sebarang masalah kepada saya. Setiap panggilan telefon saya terima jelas kedengaran dan suara saya pun lantang didengari oleh pemanggil tadi. Menonton video atau bermain permua turut memberi audio imersif yang mengasyikkan sehingga saya lalai dibuai muzik indah. Mod pembatalan hingar aktif juga adalah antara yang terbaik pernah saya uji, kerana ia berada di antara Sony WF-1000XM5 dan Jabra Elite 10.

NOTHING EAR (A)

Saya memberi pujian kepada Nothing kerana berjaya membawakan profil audio lebih kurang sama daripada Ear kepada Ear (a). Ini membuatkan pembeli TWS yang lebih murah ini tidak rasa terasing kerana tidak banyak yang ketinggalan. Ear (a) juga mampu memainkan muzik dengan bass yang menggegarkan kepala pendengar. Dipadankan pula suara penyanyi yang sama merdu tidak kira apa jua jantinanya.

Nada tinggi pada Ear (a) baik tetapi tidak cukup tinggi sehingga perlu memilih lagu muzik tertentu sahaja untuk pengalaman pendengaran terbaik. Walaupun begitu, audio yang dihasilkan masih sedap dinikmati malah saya terkejut yang TWS bawah RM500 mempunyai kualiti sebegini. Kekurangan pada Ear (a) adalah pembatalan hingar aktif yang tidak begitu memuaskan serta tidak membenarkan pengguna mengawal equaliser secara lebih mendalam.

Nothing Ear (a) adalah satu naik taraf yang diperlukan jika anda masih menggunakan Ear (1). Malah ia juga jauh lebih baik berbanding Ear (stick) tetapi masih lebih lemah berbanding Ear (2). Dengan harga Ear (2) sekarang adalah bawah RM500 juga, kelebihan Ear (a) hanyalah pada saiz keseluruhannya sahaja yang kecil serta mudah disimpan untuk di bawa ke mana sahaja.

PENGGUNAAN, KAWALAN DAN APLIKASI

Kedua-dua Ear dan Ear (a) turut kelihatan sama, jadi masing-masing adalah selesa di dalam telinga dan tidak perlu risau untuk ia mudah tertanggal atau telinga menjadi sakit kerana menggunakan TWS pada jangka masa panjang. Kawalan pada setiap fon telinga juga adalah mudah dengan hanya memicit pada tangkai. Ia tiada kesan haptik tetapi setiap kali dipicit ada bunyi mengesahkan setiap picitan.

Aplikasi Nothing X juga masih antara kegemaran saya untuk produk audio. Saya menggunakan Nothing Phone (2) dan Phone (2a) untuk menguji kedua-dua Ear baharu ini. Menariknya, semua Nothing Ear yang pernah saya sambungkan masih tersimpan di dalam akaun. Aplikasi juga amat ringkas dan mudah digunakan. Nothing X juga bijak dalam menyembunyikan ciri yang tidak disokong pada Ear (a) berbanding memaparkan semua yang disokong pada Ear.

Aplikasi ini amat membantu pengguna seperti menetapkan kawalan picitan berbeza, mencipta profil audio sendiri, menetapkan equaliser asas atau yang profesional dan banyak lagi. Aplikasi Nothing X ini adalah apa yang saya mahukan pengeluar produk audio lain ambil inspirasi. Satu perubahan yang saya inginkan adalah, benarkan akses kepada aplikasi apabila tiada Ear ditambat. Itu sahaja.

CHATGPT GIMIK?

Sudah tentu saya tidak terlupa dengan ciri AI generatif terbina pada Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Nothing mengintegrasikan ChatGPT pada setiap Ear untuk akses pantas chatbot OpenAI ini dengan kawalan suara. Dalam cubaan saya, bahasa Inggeris berfungsi dengan lancar sementara bahasa Melayu tidak. Ciri ini juga terhad kepada peranti Nothing Phone (2) dan Phone (2a) sahaja buat masa ini.

BATERI

Nothing Ear masih menyokong pengecasan nirwayar jadi tiada masalah mengecasnya pada belakang tubuh Phone (2). Untuk Nothing Ear (a) ia terhad kepada pengecasan USB-C sahaja. Tempoh pengecasan adalah 10 minit untuk penggunaan selama 10 jam. Ketahanan pula bergantung kepada penggunaan kerana dengan pembatalan hingar aktif, Ear boleh digunakan sehingga 4 jam dengan 18 jam pada pod pengecas sementara tanpa pembatalan hingar aktif adalah mencapai 8.5/40.5 jam.

Untuk Ear (a) ia lebih tahan lama kerana bertahan sehingga 9.5/42.5 jam tanpa pembatalan hingar aktif sementara jika aktif ia bertahan sama dengan Ear. Sepanjang penggunaan saya, dakwaan ketahanan bateri Nothing ini adalah benar kerana saya tiada masalah dengannya.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak;

  • 1x Ear atau Ear (a)
  • 1x Putik telinga tambahan pelbagai saiz
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C berwarna putih
  • 1x Manual pengguna

KESIMPULAN

Sejak menggunakan Nothing Ear, saya tidak lagi menggunakan OnePlus Buds Pro 2 dan Ear (2). Ia benar-benar adalah satu pengganti yang layak dengan kualiti audio yang tinggi, ciri/fungsi yang menarik dan harga yang lebih murah berbanding pesaing. Rekaan mungkin akan rasa bosan sedikit jika telah menggunakan Ear sebelum ini. Untuk Ear (a), sesuai untuk mereka yang inginkan audio baik dan rekaan kompak yang tidak mementingkan ciri tambahan lain. Dengan harga RM659 dan RM479 untuk setiap satu, produk Nothing Audio baharu ini benar-benar mencabar pesaing yang menjual pada harga lebih mahal. Jika anda buntu tidak tahu ingin beli TWS mana, Nothing adalah pilihan bijak.

PRO Dan KELEBIHAN

  • ANC pada Nothing Ear yang mantap.
  • Kualiti audio yang merdu dan seimbang untuk kedua-dua Ear baharu.
  • Nothing X yang sangat mesra pengguna.
  • ChatGPT bukan sekadar gimik, ia benar-benar berfungsi dengan baik.
  • Bateri yang tahan agak lama.

KONTRA Dan KEKURANGAN

  • ANC pada Nothing Ear (a) tidak cukup baik.
  • Nothing X tidak menyokong penyama profesional untuk Ear (a).
  • Bahan binaan plastik yang mudah calar.
  • Hanya Ear (a) membawa rekaan baharu, Ear sangkut dengan rekaan lama.
  • ChatGPT terhad kepada telefon Nothing sahaja.
Komen