Nubia V60 diumumkan secara rasmi di Malaysia sekaligus memberi nafas baharu untuk barisan peranti keluaran ZTE di Malaysia. Aspek utama yang menjadi tumpuan pada peranti ialah skrin LCD 6.72″ dengan resolusi FHD+ (2400 X 1080 piksel). Skrin juga mempunyai lubang kecil untuk kamera swafoto 32MP dengan menyertakan ciri seakan Dynamic Island yang dipanggil sebagai Live Island.

Seperkara lagi yang diilhamkan oleh peranti Apple ialah susunan kamera di bahagian belakang peranti. Tetapan kameranya pula terdiri dengan 50MP (utama), 2MP (makro) dan 2MP (kedalaman). Cip Unisoc T606 juga digunakan dengan pilihan memori 4GB RAM dan storan dalaman 256GB untuk tunjang utama. Sokongan RAM maya mencapai 12GB RAM turut disediakan sebagai tambahan.

Lain-lain spesifikasi termasuk bateri 5000mAh yang boleh dicas secara berwayar melalui pengecasan 22.5W. Peranti juga menyokong pengimbas cap jari sisi, NFC dan pembesar suara DTS turut diberikan bertujuan melengkapkan lagi peranti ini. Bagi yang berminat, ZTE Nubia V60 dijual di Malaysia pada harga RM588 dengan ketersediaan melalui Shopee dan Lazada.