Carian
Apple iOS 17.5.1 Atasi Masalah Gambar Dipadam Yang Muncul Semula – Namun, Apple Tidak Menjelaskan Lanjut Mengenainya
May 21, 2024 Aman

Apple hari ini telah mula menawarkan kemaskini iOS 17.5.1 kepada para pengguna iPhone, sekaligus mengatasi masalah pepijat yang membuatkan pelbagai gambar yang dipadam hadir semula ke peranti pengguna.

Sebelum ini, selepas kemaskini iOS 17.5, sejumlah pengguna mengatakan pelbagai gambar yang telah dipadam hadir semula ke iPhone mereka – dan dalam beberapa kes, ia melibatkan gambar yang telah dipadam bertahun lamanya. Apple tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengannya, dan sekadar menawarkan kemaskini iOS 17.5.1 dan menyatakan pada kemaskini berkenaan ia mengatasi masalah pepijat tersebut.

Apple mengatakan kemaskini berkenaan memperbaiki kerosakan pangkalan data yang membuatkan gambar kelihatan pada aplikasi Photos, walaupun telah dipadam.

Beberapa pengguna yang pentingkan privasi turut mempersoalkan berkenaan perkara ini. Mengikut tetapan pada aplikasi, gambar akan disimpan selama 30 hari selepas dipadam, sebelum ia dipadam sepenuhnya daripada pustaka. Namun, beberapa gambar yang dipadam bertahun lamanya turut hadir kembali, membuatkan pelbagai pengguna mempersoalkan berkenaan dengan perkara ini.

Buat masa ini, Apple yang sering menekankan privasi melalui penawaran produk mereka, masih tidak mengeluarkan penjelasan lanjut berkenaan masalah pepijat ini, dan bagaimana gambar yang telah terpadam lama boleh hadir kembali pada pustaka gambar pengguna.

Komen