Dua suku tahun telah berlalu sejak November 2023 yang menyaksikan Smart #1 telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Smart #1 membawakan kelainan dari segi rekaan, prestasi, dan rata-rata komentar pembaca adalah berkenaan harganya dan juga ruang storan. Masakan tidak, pada harga yang ditawarkan, harganya adalah lebih mahal berbanding kenderaan elektrik dalam keluarga Hatchback dan ini mungkin menjadi penyebab seseorang membatalkan tempahan Smart #1.

Dan dua minggu sebelum pelancaran Smart #3, saya telah berkesempatan menguji kenderaan ini di Litar Ujian Proton Shah Alam dari segi prestasi, dan diberikan sedikit masa untuk meninjau luaran dan dalaman kenderaan ini yang kini hadir dengan lebih baik, sejajar namanya #3 iaitu lebih dari #1.
Rekaan Luaran & Dalaman
Smart #3 ditawarkan dalam tiga variasi untuk pasaran Malaysia iaitu Smart #3 Pro, Premium dan juga Brabus. Dari wajah luaran, agak mudah untuk membezakan ketiga-tiga variasi ini melalui rekaan kemasan dan juga rekaan rim tayarnya yang berlainan antara satu sama lain. Saya sukakan rekaan rim pada Smart #3 Pro dan juga Brabus, kerana ia menampakkan pencengkam brek, manakala versi Premium dilihat menggunakan rekaan rim yang hampir bertutup sepenuhnya. Malah khas untuk Smart #3 Brabus, ia turut mempunyai rim yang ditatahkan perkataan Brabus terus padanya.

Dari segi rekaan fizikal, Smart #3 ini hadir dalam bentuk yang boleh dikatakan sebagai Coupe, atau Fastback, yang memberikan nilai aerodinamik yang lebih tinggi terhasil dari rekaan yang lebih besar, lebih panjang, dan lebih lebar berbanding Smart #1. Malah dengan sentuhan rekaan Mercedes Benz, ia menampakkan kereta yang futuristik, dan boleh dikatakan ‘kualiti Mercedes harga sedikit rahmah’.


Bagi versi Brabus, ia jelas menampakkan hampir kesemua label di hampir setiap bahagian dibawah paras mata, namun jelas dibezakan dengan adanya kemasan berwarna merah baik dari segi luaran seperti bumbung yang berwarna merah, mahupun dalaman dari segi kusyen kepala dengan logo Brabus, tali pinggang keledar berwarna merah, dan pad pemijak aluminium. Untuk sesi pandu uji ini, PRO-NET telah memberikan Brabus yang berwarna jingga, dan tampak unik serta garang memandangkan ia bukanlah warna yang selalu dilihat di jalanan.

Di ruangan dalaman, beberapa perkara telah diberi penambahbaikan seperti 3 corong pengudaraan di bahagian tengah serta reka letak telefon pintar dengan pengecasan nirwayar pula kini lebih rata, dan tidak condong seperti yang terdapat pada Smart #1. Kesemua kelengkapan lain pula tidaklah berbeza sangat berbanding model terdahulu.


Seterusnya adalah satu perkara yang menggembirakan bakal pembeli Smart adalah terdapatnya ruang storan yang lebih besar untuk Smart #3 ini. Pada ulasan Smart #1 terdahulu, saya ada nyatakan yang mana faktor storan yang boleh ditanggung Smart #1 adalah tidak besar, dan hanya sesuai untuk keluarga kecil, atau kegunaan bandar sahaja. Akan tetapi untuk Smart #3 ini, mereka telah menambah kapasiti ruang storan kepada 373 liter, dan pada saiz tersebut, ia mungkin tidak besar seperti kereta EV coupe yang lain dalam kelasnya namun masih boleh dipuji.


Prestasi Pecutan & Pemanduan
Salah satu manfaat badan bersaiz besar adalah kapasiti bateri yang boleh ditambah. Smart #3 Pro mempunyai kapasiti bateri terkecil antara ketiga-tiga ini, iaitu sebesar 49 kWh dengan jarak perjalanan 325km WLTP, manakala versi Premium mempunyai bateri sebesar 66 kWh dengan jarak perjalanan sejauh 455km WLTP. Versi Brabus akan menggunakann bateri yang sama, namun dengan jarak perjalanan sejauh 415km WLTP kerana ia mempunyai dua motor.

Jarak perjalanan ini sebenarnya tidak terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Smart #1 yang mempunyai jarak perjalanan 400KM WLTP untuk variasi Brabus, manakala 440KM WLTP untuk variasi Premium. Juga perlu diingatkan yang mana pengiraan jarak Smart boleh dikatakan bersifat konservatif, dan dari pengalaman serta corak pemanduan saya, ia biasanya memberikan jarak perjalanan yang lebih baik dari apa yang diramalkan.
Menariknya meskipun Smart #3 adalah lebih besar, versi Brabus mampu memecut dari 0-100km/j sepantas 3.7 saat. Versi Pro dan Premium pula boleh memecut 0-100 km.j sepantas 5.8 saat. Kesemua Smart #3 mempunyai had kelajuan 180 km/j dan turut menyokong pengecasan AC 22kW dan DC 150kW. Dan seperkara sedikit berlainan adalah terdapatnya tiga pilihan menetapkan regenerative brake, iaitu Low, Medium dan High namun saya tidak dapat mencubanya dengan lebih lama dan buat masa ini tidak dapat lagi melihat perbezaan sebenar jarak serta pembrekan janaan semula.

Sewaktu sesi pandu uji di Litar Ujian Proton Shah Alam, beberapa ujian pemanduan telah dilakukan antaranya seperti belokan tajam, membentuk nombor 8, pecutan 0-100km/j serta kestabilan kereta ini walau di cerunan litar bersudut mencapai 45 darjah. Boleh dikatakan kereta ini bersifat sangat responsif dan memberikan tindakbalas yang baik, walaupun sewaktu mengambil selekoh tajam pada kelajuan yang tinggi. Malah saya juga berjaya meluncur laju di cerunan 45 darjah pada kelajuan 130km/j dengan stabil, dan tanpa sebarang gegaran yang terhasil dari tekanan emparan yang dilakukan.
Satu perkara yang sempat saya sedar adalah untuk model Brabus terdapatnya 4 pilihan bunyi, berbeza dengan dua pilihan bunyi sebelum ini. Bunyi ini akan dimainkan sesuai dengan tahap anda menekan pendikit, memberikan kelainan sewaktu memandu dan memberikan petunjuk berkenaan kelajuan anda. Dua bunyi baharu adalah Interstellar dan Explore, namun bagi hemat saya, kedua-dua bunyi ini adalah lebih kurang, dan tidak jauh berbeza antara satu sama lain.

Dalam perkongsian yang sama sewaktu pandu uji, pihak PRO-NET turut menjelaskan perancangan mereka untuk aplikasi pengecasan mereka yang mana mereka bakal menambah 2 lagi penyedia pengecasan ke dalam aplikasi Hello Smart. Ini sekaligus meletakkan nilai pemilikan Smart adalah tidak terhad kepada prestasi semata, bahkan kepada gaya hidup berkendera elektrik bagi memudahkan pemilik mencari dan melihat status pengecas EV terus dari skrin.
PRO-NET di acara Malaysia AutoShow 2024 telahpun mengumumkan pratempah untuk Smart #3 kini dibuka, namun tiada sebarang harga rasmi diumumkan buat masa ini. Anda boleh melakukan pratempah menerusi aplikasi Hello Smart App, atau hadir sendiri ke acara ini untuk melakukan pandu uji sebelum menempah kereta elektrik ini.