Carian
Dell Memperkenalkan Portfolio Komputer Riba Copilot+ Mereka
May 21, 2024 Nazrin

Dengan pengumuman penjenamaan komputer riba Microsoft Copilot+ yang diperkenalkan untuk peranti-peranti Microsoft Windows 11 yang dikuasakan oleh cip pemprosesan ARM, Dell juga memperlihatkan penawaran mereka untuk komputer riba dalam kelas ini.

Jika jenama komputer riba seperti Acer dan ASUS memperlihatkan hanya satu model komputer riba Copilot+, Dell telah memperkenalkan beberapa model komputer riba Copilot+ berdasarkan model komputer riba sedia ada mereka, iaitu Dell XPS 13, Dell Latitude dan Dell Inspiron.

Bermula dengan Dell XPS 13, komputer riba ini akan tampil dengan rekaan serba padat yang diperlihatkan pada komputer riba Dell XPS 13 sebelum ini, tetapi akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dengan pilihan memori sehingga 64GB dan juga storan dalaman yang menggunakan SSD sebesar 2TB.

Dari segi paparan, Dell XPS 13 akan hadir dengan pilihan paparan IPS ataupun OLED bersaiz 13.4 inci dengan resolusi mencecah 2880 x 1800 dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan untuk teknologi HDR.

Seperti biasa, kelebihan Dell XPS 13 terletak kepada saiz dan beratnya yang cukup ringan sekali. Dengan ketebalan 1.7cm dan berat 1.17kg sahaja, komputer riba ini boleh dilihat sebagai diantara komputer riba AI yang paling ringan di pasaran sekarang.

Dalam pada itu, Dell Inspiron 14 dan Inspiron 14 Plus juga akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Plus dan juga pilihan memori LPDDR5X 16GB dan pilihan storan 512GB dan 1TB bergantung kepada keperluan pengguna. Kedua-dua komputer ini juga akan hadir dengan pilihan paparan skrin 14 inci dengan resolusi sehingga 2560 x 1600 dan nilai kecerahan 400 nit.

Dell Latitude 7455 pula akan hadir dengan konfigurasi yang menggunakan kedua-dua cip Qualcomm Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus dengan pilihan memori LPDDR5X sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe Gen4 sebesar 1TB.

Untuk komputer riba ini, ia akan memperlihatkan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2650×1600 dan akan juga tampil dengan sokongan untuk sambungan internet nirwayar WiFi7, bersama-sama dengan palam USB 3.2 Type-A dan juga dua palam USB 4 Type-C.

Buat masa ini, Dell telah mengesahkan bahawa pra-tempahan untuk komputer riba ini sudah mula dibuka di pasaran-pasaran tertentu. Untuk masa ini, pra-tempahan tersebut masih belum dibuka untuk pasaran Malaysia.

Komen