Carian
Perodua Mempamerkan Rekaan Prototaip MYVI Elektrik 
May 21, 2024 Ikhwan Nazri

Acara Malaysia AutoShow 2024 hari ini memperlihatkan sejumlah kenderaan elektrik, dan Perodua turut menampilkan prototaip kereta elektrik mereka yang dibina berasaskan kereta paling popular mereka, iaitu Myvi.

Prototaip kenderaan elektrik ini dibangunkan sepenuhnya oleh mereka, dengan satu komponen sahaja yang dibangunkan oleh syarikat dari Australia iaitu komponen penukaran tenaga. Malah lebih membanggakan, pembangunan bangku pengujian kuasa (power bench) turut dibangunkan dengan kerjasama 3 universiti tempatan iaitu UNITEN, UniKL dan UPM. 

Dari segi spesifikasi prototaip ini, ia mempunyai bateri nikel kobalt (NMC)sebesar 55.7 kWh dengan jarak perjalanan sejauh 350km. Perodua turut menyatakan kelajuan pecutan 0-100 km/j yang disasarkan adalah sekitar 7-9 saat. Kelajuan pengecasan AC pula adalah 11kW yang mengambil masa sekitar 5 jam manakala kelajuan pengecasan DC yang disasarkan adalah 50kW yang akan mengambil masa sekitar 1 jam. 

Dari segi rekaan, ia turut menampilkan kamera pandang sisi bagi menggantikan cermin padang sisi, dan dibahagian hadapan jelas menampakkan motor elektrik tanpa sebarang ruang storan. Perodua turut memperlihatkan kerangka dalaman prototaip Myvi elektrik ini, lengkap dengan susunan suspensi dan baterinya.

Namun memandangkan ini adalah prototaip, berkemungkinan kemasan, rekabentuk, dan spesifikasi ini bukanlah rekaan dan spesifikasi akhir untuk versi yang bakal dijual kepada pengguna kelak. Perodua dijangka akan melancarkan kereta elektrik mereka seawal 2025 dan berkemungkinan kita akan melihat kereta elektrik yang dijual bawah RM 100,000.

Komen