Carian
Sonos Ace Dilancarkan Dengan Audio Spatial Atmos Dan Bateri 30 Jam – Harga RM2,299
May 21, 2024 Amy Maizuraa

Sebagai jenama premium untuk sistem audio, Sonos sering memudahkan pengguna dengan menyediakan produk yang mempunyai audio terbaik. Untuk itu, Sonos menerusi fon kepala nirwayar pertama mereka iaitu Ace adalah pilihan yang baik. Ia mempunyai kelebihan tersendiri daripada segi kemasan, teknologi dan fungsi.

Mengenai kemasan, Sonos Ace diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi bersama reka bentuk yang moden. Kusyen telinga dibalut dengan bahan kulit lembut sementara itu angkup kepala pula sejenis logam dengan kemasan pusam untuk menambah rasa premium.

Ia juga boleh dilaraskan agar sesuai dengan sejumlah besar saiz kepala pengguna. Selain turut direka untuk pengalaman mendengar yang lancar menerusi reka bentuk yang ringan dan praktikal serta selesa dipakai untuk tempoh yang lama.

Berkongsi mengenai teknologi dan fungsi pula, Sonos Ace dilengkapi pemandu audio jenis dinamik sebesar 40mm yang dikatakan mampu menghasilkan kualiti bunyi cukup hebat pada sebarang kelantangan. Pengalaman menjadi lebih baik dengan adanya sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) yang menggunakan lapan mikrofon terbina untuk menapis bunyi latar. Selain turut menyediakan mod tembus bunyi (Aware Mode) yang membolehkan pengguna mendengar muzik sambil masih peka terhadap keadaan sekeliling.

Terdapat juga sokongan audio spatial Dolby Atmos dan transmisi aptX Lossless disertakan. Tambatan pantas pula melalui bluetooth 5.4 yang juga menyokong ciri Multipoint Connection untuk sambungan pada dua peranti serentak. Sebahagian besar kawalan utama yang termasuk mengaktifkan, melaras audio atau membuat sambungan juga boleh dilakukan dengan mudah melalui butang fizikal disediakan. Kemampuan memainkan atau menghentikan muzik turut boleh dilakukan secara automatik memandangkan terdapatnya fungsi Wear Detection yang diberi.

Sekiranya anda mempunyai produk Sonos yang lain di rumah, Sonos Ace juga boleh berfungsi dengannya menerusi ciri TV Audio Swap dan dikawal pula pada aplikasi Sonos. Sebagai contoh pengguna boleh bertukar-tukar audio diantara fon kepala Ace dan pembesar suara Sonos dengan mudah mudah. Selain turut boleh menyesuaikan dan mengubah pengalaman mendengar tersebut ikut kesesuaian masing-masing.

Kemudian bateri 1,060mAh digunakan boleh berfungsi sehingga 30 jam dengan ANC dan Aware Mode diaktifkan. Pengecasan semula pula boleh dibuat melalui sambungan USB-C terbina dengan tempoh lebih kurang dua jam untuk penuh. Bagi yang berminat, Sonos Ace dijual di Malaysia pada harga RM2,299 dengan ketersediaan bermula 5 Jun 2024.

Komen