Carian
X Akan Memberikan Ciri Menyorokkan Like Kepada Semua Pengguna
May 22, 2024 Effi Saharudin

Ciri Like digunakan di X/Twitter untuk menyimpan ciapan-ciapan yang dirasakan menarik atau untuk bacaan di kemudian hari. Tetapi sudah berlaku banyak kes Like yang dilakukan menjadi bahan jenaka kerana mendedahkan kegiatan yang memalukan. Menurut ciapan @wanghaofei seorang jurutera di X/Twitter, ciri menyorokkan Like akan diberikan kepada semua pengguna platform secara percuma.

Sebelum ini untuk menyorokkan Like anda perlu melanggan kepada X Premium yang harus diakui agak mahal bayaran bulanannya. Menurut beliau, langkah memberikan ciri ini secara percuma untuk semua adalah bagi membolehkan Like dilakukan tanpa perlu rasa malu ataupun takut. Like akan digunakan oleh algoritma untuk memberikan saranan kandungan lebih tepat di susur masa For You.

Bila ciri ini akan diaktifkan belum lagi diketahui. Tetapi ia pasti membuatkan ramai pengguna lega tembelang busuk tidak akan pecah tetapi pelanggan Premium mungkin akan marah kerana ciri eksklusif kini percuma.

Komen