Carian
Peugeot Menguji Teknologi “Telepandu” – Kereta Yang Dipandu Jarak Jauh Oleh Operator
May 22, 2024 Aman

Peugeot, pengeluar kereta dari Perancis kini mengumumkan mereka sedang menguji integrasi sebuah teknologi baharu, dinamakan “telepandu”. Melaluinya, ia membolehkan para operator untuk mengawal dan memandu kenderaan dengan teknologi ini dari jarak jauh.

Untuk tujuan ini, Peugeot bekerjasama dengan syarikat Jerman, Vay. Langkah ini akan membolehkan kenderaan Peugeot digunakan untuk tujuan penghantaran atau logistik, termasuk untuk penghantaran “last-mile”.

Dalam konteks tempatan, ia mungkin membolehkan kenderaan Peugeot digunakan untuk penghantaran seperti perkhidmatan Ninja Van, Shopee dan sebagainya tanpa mempunyai pemandu – dan dikawal secara jarak jauh. Dengan integrasi teknologi juga, ia akan membolehkan pengoptimasian laluan, sekaligus menjimatkan lagi pelbagai perkara ketika melakukan penghantaran.

Langkah ini dijangka akan membawa kepada penjimatan – terutamanya untuk syarikat penghantaran barangan yang berkait dengan edagang. 

Sebelum ini, Vay pernah memperlihatkan penggunaan teknologi untuk membolehkan pengguna menyewa kereta dan meninggalkan ia ditempat yang selesa bagi mereka – dan operator akan memandu kenderaan berkenaan kembali ke destinasi simpanan secara telepandu.

Peugeot menyasarkan mengintegrasikan teknologi ini pada E-3008 akan datang, dan beberapa van elektrik. Namun, integerasi ini mungkin akan terhad di beberapa negara atau kawasan – selari dengan kebenaran pihak berkuasa.

Komen