Di Dubai Exhibition Center hari ini, Poco Pad turut telah dilancarkan bersama-sama dengan Poco F6 dan Poco F6 Pro. Tablet Android Poco pertama ini sebenarnya adalah Redmi Pad Pro yang telah dilancarkan di China dan pasaran global terpilih baru-baru ini.

Poco Pad menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 12.1-inch beresolusi 2.5K (2560 x 1600 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Tablet ini menggunakan nisbah paparan 16:10 yang lebih mudah untuk membaca kerana menonton video akan meninggalkan kesan bar hitam tetapi warna akan masih cantik kerana sokongan paparan Dolby Vision. Bercakap mengenai menonton video, tablet ini dilengkapi dengan empat speaker Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang imersif.

Untuk cip, Poco menggunakan Snapdragon 7s Gen 2 yang dipadankan dengan memori mencapai 8GB LPDDR4X dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 2.2. Untuk kamera, sensor 8MP digunakan untuk kamera utama dan swafoto yang menyokong rakaman video 1080p. Peranti menjalankan Xiaomi HyperOS yang lengkap dengan ciri Interconnectivity untuk digunakan bersama peranti Poco lain atau Xiaomi.

WiFi 6 dan Bluetooth 5.2 disertakan, bateri adalah 10,000mAh tetapi pengecasan terhad kepada 33W yang akan mengambil masa hampir dua jam untuk selesai dicas sehingga penuh. Tiada harga Malaysia untuk Poco Pad kerana ia disahkan tidak akan dijual di Malaysia. Ini kerana Redmi Pad Pro telah tersenarai di dalam SIRIM dan ia mungkin akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Di Eropah, Redmi Pad Pro dijual pada harga €299 iaitu sekitar RM1518. Sama-sama kita nantikan kehadiran di Malaysia untuk mengetahui harga jualan yang dijangka adalah lebih murah.