Carian
NVIDIA Dijangka Menghidupkan Kembali Bahagian SoC Mereka Pada 2025 Kelak
May 23, 2024 Nazrin

NVIDIA kini mungkin lebih dikenali untuk penawaran komponen kad grafik dan cip pemprosesan AI mereka, tetapi pada satu masa dahulu, mereka juga dikenali untuk penawaran cip pemprosesan SoC (System on a Chip) mereka, khususnya melalui cip pemprosesan Tegra.

Perniagaan tersebut sudahpun ditutup sekitar sedekad yang lalu, tetapi kini dengan penawaran CPU dengan kebolehan memproses tugasan kecerdasan buatan terbina, NVIDIA melihat bahawa ini adalah masa terbaik untuk menghidupkan semula perniagaan tersebut sekarang.

Cara yang termudah, menurut temubual CEO NVIDIA dan Dell, Jensen Huang dan Michael Dell bersama Bloomberg ialah untuk NVIDIA memperkenalkan kemaskini perisian yang boleh mengaktifkan semua kad grafik NVIDIA yang mempunyai teras Tensor sebagai cip pemprosesan neural (NPU) untuk komputer-komputer yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 11.

Walaupun begitu, teknik ini hanya boleh digunapakai untuk komputer-komputer yang menggunakan kad grafik NVIDIA, dan tidak semua komputer riba dan desktop tampil dengan komponen tersebut.

NVIDIA juga memegang lesen pembangunan cip pemprosesan menggunakan teknologi Arm, dan menghidupkan kembali bahagian Tegra bukanlah sesuatu yang sukar untuk mereka, kerana mereka juga menggunakan teknologi tersebut untuk pelbagai produk kecerdasan buatan mereka seperti Drive PX.

Walaupun NVIDIA boleh membangunkan cip-cip ini dengan mudah, satu isu yang mungkin menyukarkan keadaan untuk mereka menjual cip SoC Tegra baru ini secara besar-besaran ialah perjanjian eksklusif diantara Microsoft dan Qualcomm berkenaan komputer riba Copilot+.

Ia dijangka bahawa jika tiada isu berkenaan dengan pembangunan cip SoC untuk komputer riba ini, NVIDIA mungkin akan memperkenalkan penawaran mereka seawal 2025 kelak.

Komen