Dengan pengumuman siri komputer Copilot+ yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X tempohari, Microsoft turut memperlihatkan beberapa ciri AI menarik seperti Recall dan juga Windows Automatic Super Resolution (Auto SR) yang boleh dimanfaatkan oleh komputer-komputer Windows for Arm ini.
Pada mulanya, ia difahamkan bahawa kedua-dua ciri ini dilihat boleh dimanfaatkan oleh komputer yang dikuasakan oleh cip pemprosesan terbaru Qualcomm ini, tetapi pihak Microsoft telah mengesahkan melalui beberapa laporan bahawa Windows Auto Resolution khususnya hanya boleh dimanfaatkan oleh peranti yang dikuasakan cip pemprosesan Snapdragon X Elite buat masa ini.
Windows Automatic Super Resolution merupakan sebuah ciri dimana resolusi sebuah permainan kompuer direndahkan untuk olahan bingkai grafik yang lebih pantas, dimana sistem operasi Windows kemudiannya akan menggabungkan kuasa NPU dan juga kecerdasan buatan untuk mengisi butiran kedalam bingkai-bingkai ini apabila permainan dimainkan pada resolusi yang ditetapkan.

Terkini, Microsoft telah mengesahkan bahawa buat masa ini, ciri Windows Automatic Super Resolution hanya boleh digunakan pada komputer-komputer riba yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon X Elite sahaja, dan bukan Snapdragon X Plus, mahupun cip pemprosesan Intel Meteor Lake.
Dalam pada itu, Microsoft juga mengatakan bahawa untuk memanfaatkan ciri Auto SR ini, resolusi permainan harus ditetapkan kepada resolusi dengan 900 piksel melintang kebawah, seperti 1200×800, sebagai contoh yang diberikan.
Microsoft juga mengatakan bahawa ciri seperti Recall dan Auto SR akan diperkenalkan secara berkala kepada cip Snapdragon X Plus dan juga Intel Meteor Lake di satu masa yang akan diumumkan kelak.