Terdapat banyak laporan Apple sedang membangunkan peranti skrin lipat pertama mereka dengan iPad Mini dipercayai akan menjadi produk yang pertama. Apple ialah satu-satunya pengeluar besar yang masih belum menawarkan peranti dengan rekaan seperti ini. Penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo hari ini melaporkan, Apple akan menawarkan MacBook dengan skrin lipat seawal 2026.

Beliau mengatakan LG Display dipilih sebagai pengeluar panel skrin boleh lipat dengan saiz 20.25″ dan 18.8″ sedang diuji. Apabila dilipat, ia cukup besar untuk digunakan pada sebuah MacBook dengan skrin 14–15″ atau 13–14″. Pemasangan panel pertama diramalkan berlaku seawal Q4 2025 atau H1 2026 yang memberikan petanda MacBook skrin lipat pertama akan dijual pada 2026 dengan ia dilengkapi cip Apple M5.
Antara sasaran Apple ialah skrin dengan kesan lipatan yang tidak begitu ketara. Oleh sebab itu kos menghasilkan panel skrin lipat dengan engsel khusus dijangka mencecah $900. Sekaligus menjadikan MacBook skrin lipat ini sebuah produk premium mewah sama seperti Vision Pro.
Wujudkan pasaran untuk MacBook skrin lipat? Jika anda bertanya kepada kami jawapannya mungkin ada tetapi sangat kecil. Kesemua komputer riba Windows boleh lipat yang kami gunakan adalah menarik tetapi kurang praktikal jika dibandingkan dengan komputer riba biasa. Papan kekunci fizikal masih jauh lebih intuitif digunakan untuk menaip berbanding kekunci atas skrin.