ASUS dijangka akan memperkenalkan kemaskini kepada konsol ASUS ROG Ally mereka, iaitu ASUS ROG Ally X sewaktu acara COMPUTEX Taipei tidak lama lagi dan ia akan hadir dengan beberapa penambahbaikan yang dijangka akan menjadikannya sebuah konsol permainan PC yang lebih baik lagi.
Terkini, laman web komponen komputer VideoCardz nampaknya telah meniriskan spesifikasi penuh konsol ROG Ally X ini, dan ia mengesahkan beberapa tekaan orang ramai tentang apakah yang akan berubah berbanding dengan konsol asal sebelum ini.
Pertama, seperti yang telah diketahui sebelum ini, ROG Ally X akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme, dengan tiada penawaran Ryzen Z1 akan diperlihatkan kali ini. Ia juga akan menggunakan paparan skrin IPS 7.0 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan 500 nits.

Selain dari itu, ROG Ally X akan memperlihatkan penambahbaikan dari segi penggunaan memori 24GB LPDDR5X yang telahpun tertiris sebelum ini, dan juga bateri 80Wh yang lebih besar berbanding dengan bateri 40Wh yang digunakan pada model asal sebelum ini.
Oleh kerana penggunaan memori dan juga bateri yang lebih besar ini, nampaknya ketebalan dan juga berat ROG Ally X akan menjadi lebih tinggi lagi, dimana ia akan hadir dengan dimensi 280 x 114 x 37 mm dan juga berat 678g, berbanding dengan ketebalan 32mm dan berat 607g sebelum ini.
Dalam pada itu, nampaknya sistem penyejukan ROG Ally X juga akan memperlihatkan sedikit perubahan untuk menjadikannya lebih nipis. Walaupun dengan perubahan ini, ia dijangka bahawa sistem penyejukan baru ini dapat mengalirkan 10 peratus lebih banyak udara panas berbanding model sebelum ini.
Buat masa ini, nampaknya hanya tanda harga konsol ASUS ROG Ally X ini belum diketahui lagi setakat ini.
- VideoCardz