Carian
ICQ Akan Ditamatkan Operasi Pada 26 Jun
May 25, 2024 Effi Saharudin

Selepas beroperasi lebih 27 tahun, ICQ akan ditamatkan bermula 26 Jun depan. Laman rasmi ICQ mengeluarkan pengumuman ini secara mengejut dengan pengguna disarankan untuk berpindah ke perkhidmatan VK Messenger atau VK Workspace selepas tarikh tersebut.

ICQ memulakan perkhidmatan pada 15 November 1996 dengan ia mendapat nama daripada “I Seek You”. Di zaman awal internet, adalah sukar untuk berbual dengan rakan dan ICQ adalah antara yang terawal sebaris dengan perkhidmatan seperti mIRC yang dilancarkan pada tahun 1995.

Ia dibangunkan oleh Yair Goldfinger, Sefi Vigiser, Amnon Amir, Arik Vardi, dan Yossi Vardi dari Israel sebagai cara memudahkan perbualan secara peribadi dilakukan antara pengguna. Setiap pengguna mempunyai nombor pengenalan diri lima angka yang dikongsi untuk memulakan perbualan dua hala.

Kerana popularitinya di penghujung 1990an, ICQ diambil alih oleh AOL pada tahun 1998. Di kemuncak populariti, ICQ mempunyai 100 juta pengguna berdaftar. Pada tahun 2010 ia diambil alih oleh Mail.Ru Group yang kemudiannya menukar nama ke VK Group.

Komen