AEON Bank hari ini melancarkan perkhidmatan perbankan mereka secara rasminya, menjadikan mereka sebagai bank digital islam pertama di Malaysia. Bank yang menggunakan gabungan logo berasaskan bunga sakura dengan elemen Islam berkenaan menawarkan pulangan sehingga 3.88% untuk masa terhad, dan satu-satunya bank digital yang patuh syariah buat masa ini.

AEON Group sebelum ini telah memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1985 dalam arena peruncitan, dan seterusnya turut memperluaskan penawaran perkhidmatan kewangan dan pinjaman, dan kini ia diteruskan melalui penawaran AEON Bank. Untuk fasa pengenalan, ia menawarkan kemudahan untuk melakukan pemindahan dan penerimaan wang, membuka “poket” berbeza untuk simpanan, penawaran kad fizikal untuk pengeluaran wang dan pembayaran, selain turut menawarkan integrasi AEON Points. Dalam bulan akan datang, integrasi perkhidmatan kewangan lain dijangka ditambah pada aplikasi AEON Bank ini.

AEON Bank menawarkan 3000 mata ganjaran AEON Points ketika pendaftaran, yang boleh diubah kepada kredit tunai RM15 terus melalui aplikasi. Pengguna sedia ada dengan mata ganjaran AEON Points juga akan disatukan terus ke AEON Bank ini. Pengguna turut akan menerima mata ganjaran ketika menggunakan AEON Bank untuk berbelanja – bukan ketika di pasaraya AEON sahaja, tetapi juga kedai-kedai lain.
Bercakap ketika pelancaran juga, AEON Bank menyasarkan untuk pengenalan sokongan Google Pay dan Apple Pay untuk pengguna mereka. Namun, tiada sebarang latar masa dikongsikan untuknya buat masa ini. AEON Bank turut ingin memperkenalkan penyelesaian untuk perusahaan dan perniagaan seawal 2025 kelak.
Bagi para pengguna yang berminat, anda boleh melakukan pendaftaran AEON Bank hari ini terus melalui aplikasi AEON Bank di Android dan iPhone.