Carian
Anda Boleh Jadi Kesatria Jedi Dengan Poco AI Air Gesture
May 27, 2024 Fahim Zahar

Semasa saya mula menonton filem Star Wars, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah bagaimana untuk menjadi Jedi dengan kuasa The Force untuk menggerakkan objek hanya dengan minda dan menghulurkan tangan ke depan. Dengan teknologi yang semakin maju, ciri mengawal sesuatu dengan gestur tangan di atas udara tidak lagi mustahil. Terbaru adalah Poco AI Air Gesture untuk siri Poco F6.

Tidak dinafikan yang ciri menjadikan pengguna seakan kesatria Jedi di dunia nyata ini bukan perkara baharu. Kita pernah lihat kewujudannya pada LG G8 ThinQ dengan sensor ToF, Pixel 4 dengan sensor Soli atau terbaru pada Honor Magic6 Pro. Menarik pada siri Poco F6 ini, AI Air Gesture menggunakan kamera swafoto sahaja tanpa sensor tambahan tetapi dibantu dengan teknologi kecerdasan buatan bagi mengesan pergerakan tangan.

Terdapat 4 kawalan utama iaitu Lambai melintang untuk tukar trek muzik dari A ke B dan sebaliknya, Lambai menegak untuk TikTok atau tukar muka surat dari atas ke bawah dan sebaliknya, Pergerakan tekan dua kali di udara untuk main atau jeda, kemudian akhir sekali adalah melukis bulatan di udara untuk jawab atau matikan panggilan telefon.

Dalam cubaan saya, ia memerlukan jarak tangan ke telefon yang agak jauh iaitu sekitar 60sm untuk berfungsi dengan lancar walaupun peranti menyarankan sekitar 30sm ke 50sm. Menarik tetapi agak perlahan dan ia terhad kepada aplikasi terpilih seperti Netflix atau Mi Music. Apa-apa pun, untuk sebuah peranti yang bermula dari RM1799 ia adalah ciri yang pasti semua akan cuba menggunakannya.

Komen