Carian
Lenovo Legion 7000K Kini Rasmi – Desktop Gaming Dikuasakan CPU Komputer Riba
May 27, 2024 Nazrin

Awal bulan ini, kami telah melaporkan bahawa Lenovo bakal memperlihatkan Lenovo Legion 7000K, iaitu sebuah komputer desktop gaming yang dikuasakan oleh komponen CPU Intel yang biasanya digunakan oleh komputer riba.

Lenovo kini telah membuat pengumuman rasmi mengenai komputer tersebut, yang kini dipanggil sebagai sebuah komputer Mobile on Desktop (MoDT), dan kini spesifikasi penuh komputer tersebut telah diperlihatkan.

Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX dengan 18 teras ataupun Intel Core i7-14650HX dengan 16 teras. Dari segi penawaran memori dan storan, ia dilihat bahawa Legion 7000K ini akan hadir dengan pilihan 32GB pada hampir semua model bersama storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi pilihan kad grafik pula, Lenovo memilih untuk memuatkan komputer ini dengan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 Ti Super, NVIDIA GeForce RTX 4070 Super, NVIDIA GeForce RTX 4060 Ti dan NVIDIA GeForce RTX 4060.

Penawaran cip pemprosesan komputer riba pada desktop ini juga adalah agak menarik. Pertama, cip pemprosesan Intel dipateri kepada bahagian papan induk, yang bermakna bahawa komponen CPU tersebut tidak boleh dinaiktarafk. Kedua ialah komponen CPU ini tidak mempunyai penutup penyebar haba, dan ini akan membolehkan CPU tersebut mengalihkan haba ke komponen penyejuk dengan lebih cekap.

Buat masa ini, Lenovo Legion 7000K hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja, dan sudahpun mula dijual baru-baru ini..

Komen