Carian
Cip Tensor G5 Untuk Google Pixel 10 Mungkin Akan Dikilangkan Oleh TSMC
May 27, 2024 Nazrin

Cip pemprosesan Google Tensor digunakan pertama kalinya pada peranti Google Pixel 6 dalam usahasama bersama-sama dengan Samsung, dan usahasama tersebut telah diteruskan sehingga kini, dimana Google Tensor G3 digunakan pada peranti Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro.

Terkini, beberapa laman web teknologi telah melaporkan bahawa Google akan menamatkan usahasama bersama Samsung ini, dan akan beralih kepada TSMC pula bermula 2025. Cip pertama yang akan dibangunkan oleh mereka nampaknya ialah Google Tensor G5 yang akan menguasakan peranti Google Pixel 10 yang akan diperkenalkan pada tahun 2025.

Android Authority melaporkan bahawa TSMC akan mula mengilangkan cip pemprosesan tersebut menggunakan proses 3nm mereka dan akan perkara ini nampaknya telah disahkan oleh pihak Android Authority melalui dokumen import-eksport untuk cip pemprosesan tersebut.

Diantara butiran yang dapat diperlihatkan termasuklah penggunaan nama kod Laguna Beach, yang setakat ini sudahpun diketahui nama cipset Tensor G5. Nama bahagian komponen yang bermula dengan huruf G313 juga diperlihatkan sebagai nombor bahagian komponen untuk cip Tensor tersebut, dan nama TSMC sebagai pengeluar, dan penggunaan memori 16GB didalam SoC ini juga diperlihatkan bersama-sama dengan ujian-ujian yang sudahpun dilepasi oleh cip ini.

Buat masa ini, berdasarkan kod nama versi yang diperlihatkan (A0), cip ini merupakan sebuah cip ujian buat masa ini untuk membolehkan Google melihat apakah penambahbaikan yang perlu dibuat lagi untuk cip yang akan menguasakan Pixel 10 tahun hadapan.

Ini juga bermakna bahawa cip pemprosesan Tensor G4 yang akan menguasakan peranti Pixel 9 dan 9 Pro pada tahun ini akan menjadi cip Tensor terakhir yang akan dibangunkan oleh Samsung.

Komen