Vivo dilihat bersedia menawarkan peranti boleh lipatnya secara rasmi di luar pasaran China pada tahun ini. Ianya bermula di India dengan pengenalan untuk Vivo X Fold3 Pro AI yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2024. Laman pengiklaman rasmi juga mula diterbitkan bersama beberapa butiran penting.

Misalnya seperti peranti didatangkan dalam tubuh yang senipis 11.2mm dan berat kira-kira 236 gram. Kamera ZEISS juga digunakan yang sepatutnya berpotensi menyediakan pengalaman fotografi lebih baik. Diikuti sokongan ciri AI generatif yang menggunakan model Google Gemini untuk ciri seakan Galaxy AI pada peranti Samsung.

Ia temasuklah AI Note Assist yang boleh melakukan rumusan untuk nota panjang, dan mengubah nota ke format yang menggunakan bantuan AI. Seterusnya, AI Transcript Assist yang boleh menghasilkan transkipsi audio secara automatik dan AI Screen Translation pula untuk melakukan terjemahan teks masa nyata. Peranti juga dipercayai boleh dilengkapi perkakasan dalaman berkuasa lain seperti cip Snapdragon 8 Gen 3, bateri karbon-silikon sebesar 5,700mAh dan paparan AMOLED 120Hz.