Carian
Windows Kelak Boleh Kesan Teks Pada Gambar Peranti Android Untuk Disalin
May 28, 2024 Fahim Zahar

OCR atau Optical Character Recognition adalah ciri yang semakin popular sejak ia diintegrasikan ke dalam iOS. Ia adalah ciri mengesan teks pada gambar agar mudah untuk disalin, terus tekan pautan atau akses pantas ke kandungan kod QR. Terbaru, Windows menguji ciri yang boleh mengesan teks pada gambar yang disimpan dalam peranti Android.

Ciri ini hanya boleh digunakan melalui Phone Link. Apabila peranti Android anda dipadankan dengan Phone Link, Windows boleh mengakses kandungan di dalam galeri gambar jika dibenarkan pengguna. Semasa melihat gambar, Phone Link kini boleh mengesan teks untuk ia mudah disalin. Menurut sumber, ciri ini adalah tidak sehebat OCR yang sedia terbina dalam peranti Android atau iOS.

Beberapa minggu lepas, Windows turut mengemaskini Snipping Tool untuk menyokong ciri yang sama. Ia bukan sahaja boleh mengesan teks tetapi turut boleh membaca kod QR dan terus membuka kandungannya. Jika anda ingin mencuba ciri ini, Phone Link haruslah dikemaskini ke versi 1.24051.91.0 dan dijalankan pada peranti Windows 11 Insider Preview Build 22635.3646.

Komen