Carian
BookCafe Menerajui Arena Edagang Buku Melalui Penggunaan Robotik Untuk Pengurusan Penghantaran
May 28, 2024 Aman

BookCafe, salah satu syarikat yang memfokuskan jualan buku dan novel secara edagang, kini mengumumkan kerjasama bersama AFM Fulfillment, dalam penggunaan robotik untuk menguruskan penghantaran pelbagai pembelian yang berlaku di bawah BookCafe. Melalui kerjasama yang diumumkan bersama AFM, BookCafe akan menggunakan khidmat gudang dan juga pengurusan penghantaran berasaskan robotik.

Langkah ini membolehkan BookCafe lebih mengoptimasikan kos, disamping pengurusan penghantaran yang lebih laju dan tepat kepada para pembeli. Berkongsi berkenaan dengannya, pihak BookCafe mengatakan dalam tempoh beberapa bulan menggunakan khidmat berasaskan robotik ini, ribuan bungkusan telah diproses dan hanya berlaku sekali sahaja kesilapan dalam pengurusan penghantaran, yang mana ia bukannya disebabkan penggunaan robot sepenuhnya.

BookCafe juga menyasarkan ia membawa kepada penjimatan kos operasi sehingga 30% melalui penggunaan robotik, membolehkan mereka merancang untuk menutup sehingga 2 gudang dalam masa terdekat.

Dipihak AFM pula, mereka mempunyai gudang operasi bersaiz 50,000 kaki persegi yang telah dipetakan untuk pengurusan berasaskan robotik, dan pada hari ini berupaya menguruskan tempahan mencapai sehingga 100,000 bungkusan dalam masa sehari.

Penggunaan robotik dalam pengurusan aktiviti edagang seluruh dunia sendiri meningkat tinggi dari hari ke hari, dalam memastikan operasi lebih efisyen, dan penghantaran dapat dilakukan dengan pantas kepada pembeli. Dengan langkah terbaru ini, kita mungkin melihat penggunaannya lebih meluas, disamping membolehkan para usahawan dan peniaga memfokuskan kepada aktiviti jualan dan pemasaran, sementara proses penghantaran diuruskan pihak seperti AFM melalui penggunaan teknologi robotik.

Komen