Kapal selam Titan meleduk tahun lalu mengorbankan tujuh orang pelancong yang ingin melawat Titanic di dasar lautan Atlantic. Rekaan yang menggunakan gentian karbon menyebabkan tubuh Titan meleduk di bawah tekanan yang tinggi. Walaupun tragedi Titan masih lagi segar di ingatan orang ramai, kini sebuah syarikat baharu ingin menawarkan pakej pelancongan ke Titanic menggunakan kapal selam baharu.

Kapal selam Triton 4000/2 Abyssal Explorer direka oleh Patrick Lahey dengan perniagaan menerima dana daripada Larry Connor, seorang bilionwan Amerika Syarikat. Idea membina kapal selam baharu yang boleh membawa penumpang ke kedalaman 3800 meter ini tiba sejurus selepas tragedi Titan berlaku. Kos membangunkan Triton 4000/2 Abyssal Explorer mencecah $20 juta (~RM94 juta).

Menurut Connor, beliau ingin membuktikan pelancongan ke Titanic masih lagi selamat dan boleh dilakukan bekali-kali menggunakan kapal selam yang direka dengan baik. Yang menjadikan Triton 4000/2 Abyssal Explorer unik ialah ia mempunyai rekaan bola kaca pleksi yang membolehkan dua penumpang melihat ke luar.
Titan dan kapal selam mini lain yang digunakan ke Titanic sebelum ini hanya mempunyai tingkap kaca yang kecil. Pada waktu ini tarikh bila pengembaraan pertama Triton 4000/2 Abyssal Explorer ke Titanic akan dilakukan masih belum diumumkan.