Carian
Kenderaan Singapura Wajib Menggunakan Tag VEP RFID Bermula 1 Oktober Ini
May 28, 2024 Effi Saharudin

Kenderaan asing dari Singapura wajib menggunakan tag permit masuk kenderaan (VEP) RFID untuk memasuki Malaysia bermula 1 Oktober ini. Menerusi tag RFID ini, Malaysia ingin menjadikan kemasukan masuk dan keluar kenderaan daripada Singapura lebih lancar, sekaligus mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara yang sudah berlarutan berdekad lamanya.

Pemilik kenderaan Singapura akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 (~SGD 2.90) untuk memasang tag ini. Pemasangan boleh dilakukan di Malaysia atau dipasang sendiri di rumah dengan ia dipos selepas permohonan dilakukan. Sistem VEP RFID ini diperkenalkan pada tahun 2019 tetapi tidak diwajibkan sebelum penangguhan sementara diumumkan pada tahun 2020. Kegagalan memasang tag VEP RFID boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM2000 (~SGD 574) atau penjara sehingga enam bulan.

Sebanyak 200,000 kenderaan telah memohon menggunakan tag VEP RFID ini tetapi setakat ini hanya 70,000 yang telah memasangnya. Setiap tag sah selama lima tahun dengan ia tidak boleh dipindahkan antara kenderaan. Selain melancarkan trafik, tag ini akan menyimpan maklumat seperti kesalahan jalan raya.

Perlaksanaan fasa pertama VEP RFID akan hanya melibatkan kenderaan dari Singapura. Dalam fasa kedua pula kenderaan dari Thailand juga perlu menggunakan sistem yang sama namun begitu tarikh bila ia akan dikuatkuasakan belum dikongsi oleh pihak Kementerian Pengangkutan. Yang diumumkan hanyalah kos memasang sistem pengesan VEP RFID di pintu masuk kenderaan darat di Johor akan menelan belanja RM150 juta menurut laporan FMT.

Dengan ini kenderaan yang tidak membayar saman jalan raya boleh dihalang daripada memasuki negara atau kembali ke Singapura atau Thailand sebelum ianya dibayar oleh pemilik. Kerajaan memberikan tempoh sehingga 1 Oktober bagi memberikan masa secukupnya untuk pendaftaran baharu serta pemasangan tag RFID.

Komen