Carian
OpenAI Mengesahkan Sedang Bangunkan Model Baharu Dalam Melangkah Ke Arah AGI
May 29, 2024 Aman

OpenAI hari ini mengumumkan secara rasminya yang mereka telah memulakan pembangunan model baharu untuk kecerdasan buatan, sekaligus melangkah ke fasa seterusnya pembangunan keupayaan kecerdasan buatan dalam mencapai era AGI.

Model yang telah dimulakan pembangunan dan latihan ini dijangka akan menggantikan GPT-4 yang digunakan pada hari ini. Pelbagai desas-desus mengatakan ia mungkin adalah model GPT-5 yang diperkatakan sejak beberapa bulan sebelum ini. Model baharu yang dibangunkan kelak akan membawakan keupayaan pemprosesan data lebih baik, dan pada masa yang sama dilatih menggunakan data lebih terkini.

Selari dengan pengumuman ini juga, OpenAI mengumumkan mereka telah menubuhkan pasukan keselamatan khusus yang akan memberikan pelbagai cadangan kepada ahli lembaga – terutamanya melibatkan keselamatan kritikal dan juga berkaitan dengan sekuriti untuk projek dan operasi OpenAI.

Namun, salah satu perkara yang dikritik ramai adalah pasukan ini turut diterajui oleh Sam Altman, iaitu CEO OpenAI sendiri. Kebiasaannya, pasukan akan dilantik melibatkan orang luar, namun langkah berbeza diambil oleh OpenAI. Sebelum ini sendiri, sejumlah pasukan OpenAI yang memfokuskan keselamatan telah meninggalkan firma tersebut, dan mengkritik kaedah yang digunapakai oleh firma berkenaan. OpenAI juga masih tidak menjawab pelbagai persoalan orang ramai berkenaan data yang digunakan untuk melatih model mereka.

Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan apakah seterusnya untuk OpenAI, dan apakah kejutan yang bakal dibawakan melalui model baharu AI mereka kelak, termasuk kesan pasukan khas yang memfokuskan keselamatan ini. Walaupun telah diumumkan pada hari ini, pembangunannya mungkin mengambil sedikit masa dan mungkin juga bertahun lamanya.

Komen