Sebagai penulis di Amanz, dalam setahun saya menggunakan berpuluh telefon pintar. Oleh sebab itu kerap kali ia mendatangkan isu seperti menghalang aplikasi seperti Disney+ Hotstar diaktifkan kerana mencapai tahap pemasangan maksimum. Pagi ini Play Store telah mula mengaktifkan ciri berguna yang membolehkan semua aplikasi yang telah dipasang pada peranti Android milik pengguna dinyahpasang tanpa ia di dalam tangan.

Ia dilakukan dengan menekan ikon avatar dalam Play Store dan kemudian pergi ke tetapan “manage app and device”. Dari menu ini pilihan peranti yang disenaraikan dan kemudian lihat aplikasi yang dipasang padanya. Pilih pula aplikasi mana yang ingin dipadam dan kemudian tekan ikon tong sampah untuk memulakan proses.
Selain pada telefon pintar, ciri ini juga boleh digunakan untuk memadam aplikasi pada tablet dan TV pintar Android TV. Satu lagi cara ciri ini boleh digunakan ialah memadam aplikasi yang digunakan pada peranti anak misalnya yang menggunakan akaun peribadi anda.
Sebelum ini Play Store hanya membenarkan pengguna menyelaraskan aplikasi yang dipasang pada satu peranti kemudiannya boleh dipasang secara automatik pada peranti lain. Ciri ini sudah diuji sejak tahun lalu tetapi hanya disedari diaktifkan kepada semua pengguna Android hari ini oleh laman Android Authority. Kami sudah menerimanya hari ini dan anda juga boleh menggunakannya selepas Play Store dikemas kini ke versi paling baharu.