Carian
Fujifilm X-T50 Kini Rasmi Di Malaysia – Harga Bermula RM7,998
May 29, 2024 Amy Maizuraa

Fujifilm baru sahaja mengumumkan rangkaian kamera baharu di Malaysia pada hari ini. Antara ialah Fujifilm X-T50 sebagai model terkini dalam siri X yang mampu memberikan kualiti imej lebih baik, beserta teknologi menarik dalam tubuh yang kompak dan ringan.

Fujifilm X-T50 baharu menawarkan tubuh yang kompak seberat 438 gram dan boleh ditukar ganti dengan lensa X-Mount APS-C. Kamera juga mempunyai sensor beresolusi tinggi 40.2MP X-Trans CMOS 5 HR bersama pemproses imej X-Processor 5 terkini. Gabungan ini boleh menawarkan kemampuan merakam berterusan sehingga 8FPS dengan pengatup meknikal, atau 20FPS menggunakan pengatup elektronik.

Sensor juga menyokong julat ISO standard diantara 125-12,800, dan boleh dikembangkan kepada ISO 64-51,200. Selain terdapat juga sokongan sistem penstabilan 5 paksi IBIS terbina dengan maksimum 7.0 hentian yang disertakan bersama. Kemampuan rakaman pula sehingga 6.2K30P dalam format 4:2:2 10-bit, serta 4:2:2 12-bit pula melalui HDMI dengan pilihan rakaman ProRes atau Blackmagic. Pada masa sama turut mampu merakam pada resolusi standard 4K/60P dan FHD/240P.

Kemudian sebanyak dua format F-Log termasuk F-Log2 juga boleh digunakan untuk kawalan warna pada imej yang lebih menyenangkan. Kemampuan penjejakan autofokus untuk gambar pegun dan video juga lebih tepat dengan bantuan AI. Seterusnya membolehkan kamera mampu mengunci fokus pelbagai subjek yang termasuk manusia, haiwan dan kenderaan dengan lebih baik.

Buat kali pertamanya tombol berputar disertakan yang membolehkan pengguna mengakses tetapan Film Simulation termasuk REALA ACE dengan cepat berbanding X-T30 II. Pilihan yang disediakan juga termasuklah lapan tetapan yang telah ditetapkan dan empat pula yang tersesuai. Untuk storan pula terdapatnya satu slot kad SD UHS-II. Sebuah panel LCD bersaiz 3″ dengan 1.84 juta titik juga disertakan yang boleh digerakkan ikut keperluan pengguna.

Fujifilm X-T50 ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM7,998 untuk tubuh sahaja. Kemudiannya turut boleh dibeli bersama X-T50/XC15-45mm Kit pada RM8,498 dan X-T50/XF16-50mm Kit berharga RM9,998.

Komen