Carian
Skyworth Max Screen QLED+ 100-Inci Kini Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga RM17,999
May 29, 2024 Fahim Zahar

Tahun ini, Skyworth telah memperkenalkan televisyen pintar QLED bersaiz 100-inci mereka. Ia diberi nama sebagai Max Screen QLED+. Televisyen ini turut menyokong paparan HDR10+ dan Dolby Vision. Buat pertama kalinya, Skyworth membawa masuk televisyen ini ke pasaran tempatan.

Dengan nombor model 100SUE8600, Skyworth amat bangga dengan kejayaan mereka membangunkan televisyen ini kerana mampu menawarkan pengalaman menonton yang lebih imersif berbanding televisyen tradisional mereka yang mencapai sekitar 98-inci. Terdapat lima speaker terbina yang ditala dengan Dolby Atmos yang turut dipadankan dengan ciri Auto Volume agar telinga pengguna tidak terkejut dengan bunyi kuat yang berlaku secara tiba-tiba. Ia boleh dilaras untuk pendengaran yang selesa dan sihat.

Televisyen baharu Skyworth ini turut menyokong ciri Flicker Free agar kandungan skrin tidak berkelip untuk menjaga kesihatan mata pengguna. Skyworth Eye-Max QLED 100-inci ini turut menyokong kadar segar semula 144Hz yang memanfaatkan port sambungan HDMI 2.1 untuk konsol permainan moden. Teknologi Chameleon Extreme untuk warna yang lebih baik juga diintegrasikan pada televisyen ini. Seperti TV Skyworth yang lain, SUG8800 ini turut menjalankan Google TV.

Skyworth Eye-Max QLED SUG8800 ini dijual di Malaysia pada harga RM17,999. Ia adalah televisyen bersaiz 100-inci paling murah di Malaysia setakat ini. Jika selama ini anda mencari televisyen bersaiz gergasi, ini masanya kerana pengeluar lain menjualnya pada harga puluhan ribu ke ratusan ribu Ringgit.

Komen