Panasonic mengumumkan pelancaran rasmi kamera baharu Lumix S9 di Malaysia. Tumpuan diberikan pada rekaan yang kompak dan ringan, selain turut membolehkan pengguna menghasilkan imej dan video berkualiti tinggi dengan mudah menerusi fungsi yang diberikan.

Lumix S9 baharu menawarkan tubuh yang ringan seberat 403gram dalam pelbagai variasi warna. Kamera juga mempunyai sensor beresolusi 24.2MP CMOS bingkai penuh bersama pemproses Venus Engine terkini. Selain terdapat juga sokongan sistem penstabilan terbina dengan maksimum 6.5 hentian yang disertakan. Gabungan ini boleh menawarkan kemampuan merakam berterusan sehingga 8FPS/30FPS menggunakan pengatup elektronik.

Kemampuan rakaman pula sehingga 6.2K30P yang juga dilengkapi penjejakan autofokus lebih tepat dengan bantuan AI. Pada masa sama turut menawarkan format rakaman baharu MP4 Lite yang membolehkan pengguna merakam pada kualiti 30P/25P dalam format 4:2:2 10-bit. Seterusnya pengguna boleh mengubah saiz nisbah aspek dengan mudah agar sesuai digunakan untuk siaran media sosial di telefon pintar melalui aplikasi LUMIX Lab.

Ciri lain yang ada pada kamera ialah teknologi Active I.S yang amat berguna untuk memastikan rakaman kekal stabil dalam pelbagai senario. Selain itu ia mempunyai butang khusus untuk mengaktifkan fungsi LUT di bahagian belakang kamera, dan sehingga dua fungsi LUT boleh digunakan serentak. Perlu juga dinyatakan bahawa LUMIX S9 masih menawarkan skrin sensentuh sebesar 3″ yang boleh digerakkan oleh pengguna meskipun hadir dalam saiz yang kompak.

Sesi pratempah dibuka bermula 30 Mei 2024 dengan harga RM7,599 untuk tubuh sahaja. Kemudiannya turut boleh dibeli bersama DC-S9KGA R2060 Lens pada harga RM8,999. Setiap pembelian disertakan hadiah percuma berupa SmallRig L-Shape Handle, pek bateri dan 64GB SanDisk Extreme Pro SD Card.